20/09/2026
Sabtu, 19 September 2026 - Kuala Terengganu.
PRS UniMAP Raih Tempat Kedua dalam Pertandingan Inovasi I-PEERS 2026
Alhamdulillah, pasukan Pembimbing Rakan Siswa (PRS) UniMAP berjaya meraih Tempat Kedua dalam Pertandingan Inovasi Kategori Ahli PRS sempena Konvensyen I-PEERS 2026: Sembuh Bersama Alam, yang berlangsung pada 17–19 September 2026 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Tajuk inovasi yang dibawa ialah “TAKE WHAT YOU NEED”, iaitu medium sokongan emosi untuk pelajar yang kurang selesa berkongsi masalah secara terbuka. Inovasi ini menggunakan bahan kitar semula dan elemen alam bagi menyediakan mesej sokongan yang boleh dipilih oleh pelajar mengikut keperluan emosi masing-masing.
Pasukan PRS UniMAP terdiri daripada Qistina Alya Imelda Bt Hirwan Zakri, Nur Farzana Binti Mohd Razali, Che Wan Syazanisa Binti Che Wan Hassan, Nurul Azwanis Binti Samsuri dan Chan Zi Fong, dengan bimbingan Pegawai Psikologi Pusat Kaunseling UniMAP, Puan Nur Aimi Muslim, sepanjang proses penyediaan dan penyertaan pertandingan.
Bagi kategori ini, Tempat Pertama diraih oleh PRS Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), diikuti PRS UniMAP di Tempat Kedua dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di Tempat Ketiga. Pasukan PRS UniMAP menerima hadiah wang tunai RM300 berserta sijil pencapaian, dengan majlis penyampaian hadiah berlangsung di Pulau Bidong, Terengganu.
Pencapaian ini mencerminkan kreativiti dan potensi PRS UniMAP dalam menghasilkan inovasi yang menyokong kesejahteraan emosi, refleksi kendiri dan sokongan rakan sebaya dalam kalangan mahasiswa. Tahniah dan syabas kepada pasukan PRS UniMAP atas kejayaan membawa nama UniMAP di peringkat kebangsaan.