LIKP PPSP

LIKP PPSP Bahagian Libatsama Industri Komuniti dan Pembangunan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM KubangKerian

USM – PPKM BAHAGIAN NEGERI KELANTAN METERAI MoU FOKUS KESEJAHTERAAN PESARA DAN PEMBANGUNAN KOMUNITIUSM, KUBANG KERIAN, K...
28/01/2026

USM – PPKM BAHAGIAN NEGERI KELANTAN METERAI MoU FOKUS KESEJAHTERAAN PESARA DAN PEMBANGUNAN KOMUNITI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Januari 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Bahagian Negeri Kelantan bagi menjalin kerjasama strategik yang berterusan, khususnya dalam bidang akademik, penyelidikan, latihan, kebajikan serta pembangunan komuniti berteraskan prinsip kesaksamaan dan manfaat bersama.

Melalui pemeteraian MoU ini, kedua-dua pihak berpeluang meneroka dan melaksanakan pelbagai inisiatif bersama termasuk penganjuran program latihan dan bengkel, pelaksanaan projek penyelidikan, aktiviti kebajikan, penglibatan staf dan pelajar, selain pertukaran kepakaran serta penerbitan ilmiah.

Majlis penandatanganan MoU tersebut disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin, yang mewakili Naib Canselor USM, bersama Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) PPSP, Profesor Dr. Asrenee Ab. Razak bagi pihak USM. PPKM Bahagian Negeri Kelantan p**a diwakili oleh Pengerusinya, Dato’ Haji Ismail Md Noor, serta Ketua Jawatankuasa Kesihatan dan Rekreasi PPKM Bahagian Negeri Kelantan, Dr. Muhamad Sulaiman.

Dalam ucapannya, Profesor Dr. Kamarul Aryffin menyatakan harapan agar kerjasama strategik ini dapat menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan golongan pesara, pembangunan komuniti serta pemerkasaan ilmu dan perkhidmatan kesihatan.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan USM sebagai sebuah universiti penyelidikan dalam memperluaskan peranan akademik ke arah penglibatan komuniti yang lebih inklusif, progresif dan bermakna. Melalui jaringan strategik bersama PPKM, saya berharap ia dapat membentuk sebuah platform kerjasama yang mampan dan berimpak tinggi demi kepentingan masyarakat dan negara,” katanya.

Tambah beliau, pemeteraian MoU ini menandakan permulaan kepada satu jalinan kerjasama yang lebih tersusun, terancang dan berfokus.

“Semoga usaha murni ini menjadi pemangkin kepada pelaksanaan inisiatif serta program berimpak tinggi yang mampu memberi manfaat secara langsung kepada kedua-dua pihak dan komuniti yang disasarkan. Saya yakin, dengan semangat kebersamaan dan iltizam yang kukuh, kerjasama ini akan terus berkembang serta menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program-program yang lebih bermakna, lestari dan berkesan pada masa hadapan,” ujarnya.

Sementara itu, Dato’ Haji Ismail Md Noor menyifatkan pemeteraian MoU berkenaan sebagai satu langkah signifikan dalam memperkukuh peranan persatuan pesara melalui kerjasama strategik yang berteraskan ilmu, kepakaran dan pengalaman.

Menurut beliau, jalinan kerjasama bersama USM membuka ruang yang lebih luas kepada golongan pesara untuk terus menyumbang secara aktif dalam pelbagai inisiatif berkaitan kesihatan, kebajikan serta pembangunan komuniti.

“PPKM amat menghargai komitmen USM dalam memperluaskan jaringan kerjasama yang inklusif dan berimpak. Kami yakin usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada ahli PPKM, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Beliau turut berharap agar kerjasama ini dapat dilaksanakan secara berterusan dan berfokus menerusi penganjuran program kesihatan, latihan, penyelidikan serta aktiviti komuniti yang mampu memberikan impak langsung kepada golongan pesara dan masyarakat setempat.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa) PPSP USM, Profesor Dr. Irfan Mohamad; Timbalan Dekan (Libatsama Industri-Komuniti dan Pembangunan) PPSP USM, Profesor Dr. Aziah Daud; Ketua Jabatan Psikiatri PPSP USM, Profesor Madya Dr. Maruzairi Husain, serta Penyelaras Majlis MoU antara USM dan PPKM Bahagian Negeri Kelantan,Dr. Siti Nur Najibah Fauzi.

USM PERKUKUH JALINAN AKADEMIA–INDUSTRI BERSAMA PERKESOUSM, Kubang Kerian, Kelantan, 19 Januari 2026 – Universiti Sains M...
20/01/2026

USM PERKUKUH JALINAN AKADEMIA–INDUSTRI BERSAMA PERKESO

USM, Kubang Kerian, Kelantan, 19 Januari 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan berimpak tinggi apabila menjalinkan kerjasama strategik dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi satu sesi perkongsian ilmu khas bersama Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohamed Azman Aziz Mohammed.

Kerjasama ini memfokuskan usaha pemerkasaan modal insan melalui penyelidikan berteraskan aplikasi industri, program latihan kebolehpasaran graduan serta perkongsian kepakaran dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, rehabilitasi dan kesejahteraan tenaga kerja.

Melalui inisiatif ini, warga akademik dan pelajar USM berpeluang untuk terlibat secara langsung dalam projek industri sebenar yang selari dengan keperluan serta cabaran pasaran pekerjaan masa kini.

Sesi yang berlangsung di Bilik Persidangan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM itu turut menzahirkan komitmen PERKESO dalam memperkukuh kerjasama berterusan dengan institusi pengajian tinggi bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran, berpengetahuan dan kompetitif.

Kolaborasi ini dijangka menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif bersama secara lebih komprehensif, termasuk penyelidikan kolaboratif, program penempatan industri, latihan profesional serta pelaksanaan inisiatif kebajikan pekerja berasaskan data dan bukti.

Sesi perkongsian ini turut disertai oleh Dekan PPSP USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin, barisan Timbalan Dekan PPSP serta ketua-ketua jabatan PPSP USM.

Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh warga USM serta rakan industri dan komuniti ✨Semoga 2026 membawa lebih banyak p...
01/01/2026

Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh warga USM serta rakan industri dan komuniti ✨

Semoga 2026 membawa lebih banyak peluang, kerjasama bermakna dan impak positif.


9 NOVEMBER 2025 | KUBANG KERIAN, KELANTANPPSP USM LANTIK IR TS MOHD YUSRI MOHAMED YUSOF SEBAGAI AHLI INDUSTRIAL COMMUNIT...
11/11/2025

9 NOVEMBER 2025 | KUBANG KERIAN, KELANTAN

PPSP USM LANTIK IR TS MOHD YUSRI MOHAMED YUSOF SEBAGAI AHLI INDUSTRIAL COMMUNITY ADVISORY PANEL (ICAP)

Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) pada 9 November 2025 telah mengumumkan pelantikan Ir Ts Mohd Yusri Mohamed Yusof, Senior Vice President of Projects, Technology & Health, Safety, Security & Environment (PT&HSSE), the Centre of Excellence for PETRONAS, sebagai ahli baharu Industrial Community Advisory Panel (ICAP) PPSP USM.

Dalam sesi libatsama bersama pihak pengurusan PPSP, Ir Ts Mohd Yusri menekankan kepentingan ICAP sebagai platform strategik dalam menilai kekuatan dan keperluan kurikulum semasa, merapatkan jurang kemahiran antara akademia dan industri, serta menyokong pelaksanaan program industri–komuniti yang inklusif, progresif dan lestari selaras dengan keperluan ekosistem kesihatan negara.

Sepanjang lawatan rasmi beliau ke PPSP, Ir Ts Mohd Yusri turut meluangkan masa meninjau beberapa fasiliti dan pusat rujukan PPSP termasuk SPICES – Interactive Gallery for Medical Sciences serta An NaHL, iaitu projek ladang madu kelulut di bawah inisiatif pembangunan komuniti USM serta Rumah Ronald Mcdonald Hospital Universiti Sains Malaysia.

PPSP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dekan, Profesor Dr. Kamarul Aryffin bin Baharuddin atas kesudian merasmikan serta menyertai keseluruhan program bersama warga PPSP.

Turut diucapkan penghargaan kepada Profesor Dr. Aziah binti Daud, Timbalan Dekan LIKP, atas bimbingan dan komitmen beliau dalam merancang serta memastikan kelancaran penganjuran program ini.

Pelantikan ini dijangka memperkukuh jalinan strategik antara PPSP dan industri, seterusnya menyokong aspirasi USM ke arah pendidikan kesihatan yang lebih dinamik, responsif dan berpaksikan keperluan masa depan.

Kubang Kerian, Kelantan, 3–4 November 2025 – Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) tel...
11/11/2025

Kubang Kerian, Kelantan, 3–4 November 2025 – Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerima kunjungan rasmi selama dua hari daripada delegasi Universitas Jenderal Soedirman (UNSOED), Indonesia. Lawatan ini melibatkan tiga wakil delegasi iaitu Dr. M.M. Rudi Prihatno, Dr. Muhamad Rifqy Setyanto dan Dr. Nenden Nursyamsi Agustina, dengan matlamat memperkukuh jalinan kerjasama akademik serta meneroka potensi kolaborasi baharu antara kedua-dua institusi.

PPSP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Dekan PPSP, Profesor Dr. Kamarul Aryffin bin Baharuddin, atas kesudian beliau merasmikan serta turut sama menyertai keseluruhan pengisian program ini bersama warga PPSP.

Turut dirakamkan penghargaan kepada Profesor Dr. Aziah binti Daud, Timbalan Dekan Libatsama Industri, Komuniti dan Pembangunan (LIKP), atas bimbingan, komitmen dan peranan penting beliau dalam proses perancangan, penyelarasan dan kejayaan keseluruhan lawatan ini. Kedua-dua pemimpin tersebut memainkan peranan utama sebagai wakil hormat PPSP dalam menyambut, berbincang serta menguruskan pelaksanaan program bersama delegasi UNSOED.

Lawatan rasmi ini bermula pada 3 November 2025, di mana para delegasi tiba di Kota Bharu dan disambut oleh wakil PPSP. Mereka kemudiannya dibawa melawat ke beberapa fasiliti utama PPSP sebelum mengunjungi SPICES USM, ruang pameran pendidikan yang menampilkan koleksi organ manusia abnormal untuk tujuan pengajaran dan penyelidikan. Lawatan ini memberikan pendedahan komprehensif kepada delegasi mengenai pendekatan pengajaran perubatan USM yang komprehensif dan berasaskan teknologi.

Pada hari kedua, 4 November 2025, para delegasi telah mengadakan sesi perbincangan strategik bersama barisan kepimpinan akademik PPSP bagi membincangkan hala tuju bersama dan peluang kolaborasi masa hadapan antara UNSOED dan USM. Pada sebelah petang, delegasi turut dibawa melawat An NaHL, pusat penyelidikan dan pembangunan madu kelulut yang diusahakan oleh USM, bagi meninjau aktiviti penyelidikan, inovasi dan libatsama komuniti yang dijalankan.

Secara keseluruhannya, lawatan dua hari ini berjaya memperkukuh hubungan akademik serta membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara PPSP USM dan UNSOED, selaras dengan usaha USM untuk memantapkan rangkaian kerjasama antarabangsa serta memperkukuh kecemerlangan akademik bertaraf global.

Kubang Kerian, Kelantan, 29 Oktober 2025 – Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah...
06/11/2025

Kubang Kerian, Kelantan, 29 Oktober 2025 – Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan program “Walk with Dean: Brisk Walk & Plogging” bersempena Minggu Kelestarian PPSP di Padang Kompleks Sukan 2, USM Kampus Kesihatan.

Program bertemakan “Solidariti untuk Palestin” ini menggabungkan aktiviti kecergasan dan kelestarian melalui brisk walk serta plogging, iaitu aktiviti berjalan pantas sambil mengutip sisa sampah bagi menyemai kesedaran menjaga kebersihan dan alam sekitar.

PPSP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Dekan PPSP, Profesor Dr. Kamarul Aryffin bin Baharuddin atas kesudian beliau merasmikan serta turut sama menyertai aktiviti ini bersama warga PPSP.

Turut dirakamkan penghargaan kepada Profesor Dr. Aziah binti Daud, Timbalan Dekan Libatsama Industri, Komuniti dan Pembangunan PPSP atas bimbingan dan komitmen dalam menjayakan program ini.

Program anjuran Jawatankuasa Kelestarian PPSP dengan kerjasama LIKP ini berjaya memupuk semangat kesukarelawanan, kelestarian dan solidariti sejagat selaras dengan aspirasi USM sebagai Universiti APEX berteraskan kesejahteraan global.

Kubang Kerian, Kelantan, 28 Oktober 2025 – Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) terus...
05/11/2025

Kubang Kerian, Kelantan, 28 Oktober 2025 – Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) terus komited dalam memupuk amalan pemakanan sihat dan gaya hidup lestari menerusi program bertajuk “Tips Pemakanan Sihat: Pilihan Bijak di Pinggan, Rahsia Tenaga Berpanjangan” yang diadakan bersempena Minggu Kelestarian PPSP 2025.

Program yang berlangsung di Dewan Kuliah 4, PPSP pada jam 8.30 pagi itu menampilkan Puan Nor Elyana Awang, Pegawai Dietetik PPSP, sebagai penceramah jemputan. Sesi perkongsian tersebut memberi tumpuan kepada kepentingan membuat pilihan makanan yang seimbang, berkhasiat dan lestari dalam menjamin tenaga berpanjangan serta kesihatan menyeluruh.

Menurut Puan Nor Elyana, pemilihan makanan yang bijak di pinggan bukan sahaja membantu mengekalkan kecergasan, malah berperanan penting dalam mencegah penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan hipertensi. Beliau turut menekankan bahawa amalan pemakanan lestari dapat menyumbang kepada kesejahteraan individu dan kelestarian alam sekitar.

Pada sebelah petang, program diteruskan dengan Pertandingan Menu Makanan Sihat yang disertai oleh warga PPSP. Pertandingan ini menguji kreativiti peserta dalam menyediakan hidangan sihat dan seimbang, di samping menggalakkan perkongsian idea serta amalan pemakanan sihat dalam kalangan komuniti kampus.

PPSP turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Timbalan Dekan Libatsama Industri, Komuniti dan Pembangunan (LIKP), Prof. Dr. Aziah binti Daud atas bimbingan, komitmen dan sokongan padu beliau dalam menjayakan penganjuran program ini. Usaha berterusan beliau dalam memperkukuh inisiatif libatsama komuniti dan kelestarian amat dihargai serta menjadi pemangkin kepada kejayaan program seumpama ini.

Program anjuran Jawatankuasa Kelestarian PPSP ini secara keseluruhannya berjaya mencapai objektif dalam memperkukuh kesedaran kesihatan, menyemai nilai kelestarian dan mempererat hubungan antara warga kampus, industri serta masyarakat. Ia juga selaras dengan aspirasi USM sebagai Universiti APEX yang menekankan kesejahteraan sejagat serta pembangunan mampan.

Kubang Kerian, Kelantan, 27 Oktober 2025 – Sempena Minggu Kelestarian Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti...
05/11/2025

Kubang Kerian, Kelantan, 27 Oktober 2025 – Sempena Minggu Kelestarian Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), satu ceramah bertajuk “Pencemaran Mikroplastik: Kesan Negatif kepada Masyarakat” telah diadakan bertempat di Dewan Kuliah 4 PPSP pada jam 10.30 pagi.

Penganjuran ceramah ini adalah hasil kerjasama antara Jawatankuasa Kelestarian PPSP dan Libatsama Industri, Komuniti dan Pembangunan (LIKP), di bawah pimpinan Timbalan Dekan, Prof. Dr. Aziah binti Daud. Ia sekali gus mencerminkan usaha berterusan PPSP dalam memperkukuh kesedaran kelestarian dan tanggungjawab sosial warga universiti terhadap alam sekitar.

Ceramah disampaikan oleh Dr. Mohamad Danial Shafiq, Pensyarah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, USM Pulau Pinang. Program ini merupakan antara pengisian utama minggu kelestarian yang berlangsung dari 26 hingga 29 Oktober 2025.

Dalam sesi perkongsian tersebut, Dr. Mohamad Danial menekankan isu pencemaran mikroplastik yang semakin membimbangkan serta kesannya terhadap kesihatan manusia dan ekosistem. Beliau turut menggalakkan pendekatan lestari dalam amalan seharian sebagai langkah kecil ke arah perubahan besar terhadap alam sekitar.

Kubang Kerian, Kelantan, 26 Oktober 2025 – Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) melal...
05/11/2025

Kubang Kerian, Kelantan, 26 Oktober 2025 – Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Libatsama Industri, Komuniti dan Pembangunan (LIKP) telah menganjurkan program Hari Bersama Pelanggan bertempat di Dataran Merah PPSP, USM Kampus Kesihatan. Program ini berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari dan mendapat sambutan menggalakkan daripada warga kampus serta komuniti setempat.

Terlebih dahulu, PPSP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Timbalan Dekan Libatsama Industri, Komuniti dan Pembangunan, Prof. Dr. Aziah binti Daud atas komitmen, bimbingan dan kerja keras beliau dalam memastikan kelancaran serta kejayaan program ini. Penganjuran Hari Bersama Pelanggan ini juga diselaraskan oleh Jawatankuasa Kelestarian PPSP dengan kerjasama pelbagai unit di bawah jabatan LIKP.

Program ini bertujuan memperkukuh hubungan antara akademia, industri dan masyarakat melalui pelbagai aktiviti berkonsepkan libatsama komuniti dan kelestarian. Empat komponen utama di bawah LIKP – Kelestarian, Industri, Komuniti dan Pembangunan – menjadi tunjang utama dalam penganjuran program ini.

Antara pengisian menarik termasuk pameran interaktif oleh INFO@PPSP dan WELLNESS@PPSP, kempen kesedaran kesihatan, serta aktiviti kitar semula yang menggalakkan sumbangan kotak, kertas dan minyak masak terpakai. Sebagai galakan, 50 peserta terawal yang menyumbang bahan kitar semula menerima cenderahati istimewa.

Program turut dimeriahkan dengan jemputan khas daripada Suri Nurseri, yang berkongsi pengetahuan mengenai penjagaan tanaman hiasan dan amalan lestari dalam kehidupan seharian.

Program ini secara keseluruhannya berjaya mencapai matlamat dalam memperkukuh jaringan komuniti, memperluas kolaborasi industri dan menyemai semangat pembangunan mampan, selaras dengan aspirasi USM sebagai Universiti APEX yang berteraskan kesejahteraan sejagat.

Kubang Kerian, Kelantan, 25 Ogos 2025 – Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) melalui ...
13/10/2025

Kubang Kerian, Kelantan, 25 Ogos 2025 – Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Libatsama Industri Komuniti dan Pembangunan (LIKP) telah menganjurkan seminar bertajuk “Securing and Managing External and Industry Collaborations: A Sharing Session” bertempat di PPSP. Program ini berjaya menghimpunkan hampir 50 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah dan penyelidik.

Seminar ini memberi tumpuan kepada perkongsian strategi serta pendekatan berkesan dalam membina dan mengurus kolaborasi antara akademia dan industri, sebagai usaha memperkukuh agenda penyelidikan dan jaringan strategik USM.

Penceramah pertama, Prof. Madya Dr. Muhammad Hafiz Hanafi dari Unit Perubatan Pemulihan, menyampaikan perkongsian bernas yang menyentuh pelbagai aspek strategi serta kaedah pelaksanaan kerjasama industri. Beliau menekankan kepentingan pendekatan terancang bagi memperkukuh hubungan industri-akademia sebagai pemangkin kepada kemajuan penyelidikan.

Turut menyampaikan sesi penting ialah Dr. Shazana Hilda Shamsuddin dari Jabatan Patologi yang menekankan peranan kolaborasi dalam bidang patologi serta implikasi klinikalnya yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat. Sementara itu, Dr. Mohd Zulkifli Mustafa dari Jabatan Neurosains turut berkongsi pengalaman dan perspektif dalam penyelidikan, khususnya berkaitan madu kelulut bersama pihak industri, yang dilihat mampu mendorong inovasi serta memperluaskan impak translasi penemuan saintifik.

PPSP turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Timbalan Dekan Libatsama Industri Komuniti dan Pembangunan, Prof. Dr. Aziah binti Daud, selaku pengerusi program, atas kepimpinan dan sokongan padu beliau dalam menjayakan penganjuran seminar ini.

Gabungan ketiga-tiga perspektif tersebut telah memberikan peserta seminar gambaran menyeluruh tentang potensi sebenar kerjasama industri–akademia. Perkongsian ini bukan sahaja menjelaskan aspek teori, malah disokong dengan contoh praktikal dan pengalaman sebenar.

Program ini secara keseluruhannya menjadi platform penting dalam menghubungkan pengetahuan akademik dengan keperluan industri, sekali gus membuka ruang ke arah pembangunan penyelidikan yang lebih mampan, relevan dan berimpak tinggi.

Address

Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Jalan Perempuan Zainab (2)

16150

Opening Hours

Monday 08:00 - 16:30
Tuesday 08:00 - 16:30
Wednesday 08:00 - 16:30
Thursday 08:00 - 15:00
Sunday 08:00 - 16:00

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when LIKP PPSP posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

  • Want your university to be the top-listed University?

Share