10/05/2026
Kota Samarahan, 09 May 2026- Pada 09 may 2026 telah berlangsung Program Forum Integriti Mahasiswa 2026: Suara Mahasiswa Menentang Rasuah yang dianjurkan oleh Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan kerjasama SPRM cawangan Sarawak dan MPP UNIMAS bertempat di Student Pavilion, UNIMAS. Program ini melibatkan seramai lebih kurang 80 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa & staf UNIMAS serta staf SPRM Sarawak.
Antara objektif utama program ini adalah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan mahasiswa mengenai kepentingan integriti dan amalan anti rasuah dalam kehidupan seharian. Selain itu, program ini juga bertujuan melahirkan generasi mahasiswa yang beretika, bertanggungjawab, serta berani menyuarakan penolakan terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dan gejala rasuah.
Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Zambari bin Haji Baijuri, Pengarah Pusat Khidmat Pelajar, Universiti Malaysia Sarawak. Turut hadir ucapan wakil Pengarah SPRM Sarawak, YBrs. Tuan Wan Ahmad Nidzam bin Wan Omar. Ucapan aluan telah disampaikan oleh Pengarah Program AMAR, iaitu saudara Mohammad Syamil Hakimi bin Yusof. Turut bersama YBrs. Puan Norhamimah bt Buang, Pengarah Bahagian Integriti UNIMAS serta YBrs, Encik Lawrence S Henry selaku Penasihat AMAR UNIMAS.
Program ini diteruskan lagi dengan forum yang bertajuk “Forum Integriti Mahasiswa 2026: Suara Mahasiswa Menentang Rasuah” bersama panel jemputan iaitu panel pertama YBrs Tuan Wan Ahmad Nidzam Bin Wan Omar dan panel kedua YBrs Puan Norhamimah binti Buang yang membincangkan isu berkaitan integriti, peranan mahasiswa dalam memerangi rasuah, serta kepentingan membentuk budaya yang berlandaskan nilai amanah dan ketelusan. Forum tersebut turut mendapat sambutan yang baik daripada para peserta melalui sesi perkongsian pandangan dan soal jawab bersama panel jemputan.
Akhir sekali, diharapkan program ini dapat memberikan kesedaran dan impak positif kepada mahasiswa dan mahasiswi UNIMAS dalam memperkukuhkan nilai integriti serta semangat menentang rasuah. Program seperti ini juga diharap mampu melahirkan generasi mahasiswa yang berani bersuara, dan berfikiran kritis.