26/09/2026
Majlis Watikah JPP KTES 2026 Berlangsung Meriah di Dewan Serbaguna Kolej Tingkatan Enam Saratok
22 September 2026 - Majlis Watikah Ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Peringkat Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Saratok berlangsung dengan penuh tertib dan berprestij di Dewan Serbaguna KTES pada pagi Selasa, 22 September 2026. Program rasmi yang bermula seawal jam 6.40 pagi itu menghimpunkan seluruh warga guru, pelajar serta tetamu jemputan dalam suasana penuh semangat kepimpinan dan patriotisme.
Majlis dimulakan dengan ketibaan para guru dan pelajar, diikuti ketibaan tetamu jemputan. Nyanyian lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku bergema megah di dewan sebagai simbol kecintaan terhadap negara dan negeri. Seterusnya, bacaan ikrar serta matlamat Rukun Negara dilafazkan dengan penuh tekad oleh para pelajar.
Acara diteruskan dengan bacaan doa sebelum pelajar Tingkatan Enam mengangkat ikrar kepimpinan sebagai tanda komitmen mereka untuk memikul amanah sebagai pemimpin muda di KTES. Kata aluan Pengetua membuka tirai ucapan rasmi, disusuli ucapan perasmian oleh Ketua Polis Daerah Saratok iaitu DSP Mathew Manggie yang hadir khas bagi menyempurnakan majlis watikah tersebut.
Majlis turut diserikan dengan gimik perasmian, diikuti pelaksanaan watikah JPP yang menjadi detik penting buat barisan kepimpinan pelajar sesi 2026/2027. Tayangan video kenangan JPP menambah nilai sentimental apabila memaparkan perjalanan kepimpinan pelajar sepanjang tahun sebelumnya.
Program diakhiri dengan sesi bergambar sebagai simbolik penghargaan dan kenangan bersama sebelum semua hadirin bersurai.
Pihak Kolej Tingkatan Enam Saratok merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ibu Pejabat Balai Polis Saratok atas kerjasama, sokongan dan komitmen mereka dalam menjayakan majlis rasmi ini. Kehadiran pihak polis bukan sahaja menyerikan acara, malah memperkukuh hubungan strategik antara institusi pendidikan dan agensi keselamatan setempat.
Disediakan oleh : Sarasota Josept