10/08/2026
DUDUK BERSAMA AHLI ILMU, MENYELAMI BAHASA AL-QURAN
Alhamdulillah, antara pengisian yang cukup bermakna sepanjang kunjungan Dr. Syekh Ali Ghasamallah ke Madrasah Darul Uloom Al-Musthafa ialah Daurah Percakapan Bahasa Arab bersama para pelajar.
Satu pengalaman yang cukup istimewa apabila para pelajar berkesempatan duduk berhadapan dengan seorang ahli ilmu, mendengar, berbicara dan belajar Bahasa Arab secara langsung daripada beliau.
Apa yang lebih mengesankan ialah ketawadukan dan kesabaran Syekh dalam membimbing para pelajar. Dengan keluasan ilmu dan pengalaman yang dimiliki, beliau tetap meluangkan masa untuk duduk bersama mereka, menyesuaikan pengajaran dengan kemampuan pelajar dan membimbing mereka dengan penuh perhatian.
Wajah-wajah yang ceria, rasa teruja dan semangat yang terpancar sepanjang daurah menjadi satu pemandangan yang sangat menggembirakan. Pertemuan yang singkat ini seakan-akan menyalakan kembali himmah dalam diri para pelajar untuk lebih berani belajar, berbicara dan mendalami Bahasa Arab.
Kerana Bahasa Arab bukan sekadar sebuah bahasa untuk dipelajari, tetapi ia adalah bahasa Al-Quran, bahasa Rasulullah ﷺ dan salah satu kunci untuk menyelami khazanah ilmu Islam.
Sebagai penutup daurah, para pelajar turut menerima Ijazah Khulāsah Sayyidi al-Habib Umar daripada Dr. Syekh Ali Ghasamallah.
Sebuah ijazah yang bukan sekadar menjadi kenangan daripada sebuah pertemuan, tetapi menjadi amanah untuk terus mencintai ilmu, memeliharanya dan berusaha mengamalkannya.
Semoga Allah SWT memberkati Dr. Syekh Ali Ghasamallah, memanjangkan umur beliau dalam ketaatan, serta menjadikan ilmu dan nasihat yang disampaikan sebagai sebab bertambahnya himmah, adab dan kecintaan para pelajar kepada ilmu dan Bahasa Al-Quran.
جزاه الله عنا وعن المسلمين خير الجزاء، وبارك الله في علمه وعمره ونفع به المسلمين.