Sejarah kepemimpinan masyarakat dan negara pada hari ini adalah sebahagian besarnya didokongi oleh golongan bekas pelajar yang berwibawa sejak dari alam kampus lagi. Kewibawaan tersebut bukan sekadar dinilai daripada aspek kepimpinan semata-mata malahan juga didasari oleh faktor kecemerlangan akademik, pemikiran di samping tidak mengetepikan soal kemuliaan sahsiah individu tersebut. Pemimpin bukan
sahaja akan bercirikan kepimpinan yang berkualiti malahan ia perlu merentasi intelektualisme, idealisme dan aktivisme. Golongan mahasiswa seharusnya menyedari hakikat bahawa masa depan kepimpinan negara di tangan mereka kini. Hakikat bahawa pemimpin bahawa pemimpin itu lahir daripada mahasiswa yang berkualiti dari segi kepimpinan, kecemerlangan akademik serta pembentukan sahsiah yang tinggi tidak perlu dipersoalkan lagi. Memahami dan meyakini bahawa setiap individu itu mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin yang berkualiti, cemerlang akademiknya dan mulia sahsiahnya dan daya kepimpinan mereka perlu diterjemahkan melalui siri latihan dan bimbingan yang bersistematik selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara, maka KELAB BIMBINGAN MAHASISWA (KBM) ditubuhkan pada tahun 1990. Tema ataupun motto yang dibawa oleh KBM sejak dari dahulu sehingga kini adalah " Kemuliaan dan Kecemerlangan Mahasiswa ". Tema atau motto ini telah menjadi dasar kepada siri aktiviti atau program yang dianjurkan oleh KBM selama ini sebagai menifestasi kepada usaha KBM untuk menggilap dan memperkembangkan potensi dan kemampuan diri ahli berteraskan kepercayaan kepada Tuhan. Kini, KBM telah pun bertapak di kampus hijau ini selama 26 tahun di bawah kelolaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UPM. Telah banyak pengalaman dan kenangan yang dicoretkan sepanjang tempoh tersebut. Namun apa yang lebih utama adalah harapan setinggi gunung untuk melihat KBM masih terus terpasak kukuh dan relevan dalam usaha untuk melahirkan generasi mahasiswa yang cemerlang di dunia dan di akhirat.