03/11/2025
BENGKEL PEMANTAPAN AKADEMIK & PEMBANGUNAN PROGRAM BAHARU
(AI MPU Universiti & Diploma Applied Artificial Intelligence)
Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA) telah berjaya menganjurkan Bengkel Pemantapan Akademik dan Pembangunan Program Baharu pada 31 Oktober hingga 2 November 2025 bertempat di Hotel Royale Chulan, Seremban.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YBhg. Profesor Emeritus Ir. Dato’ Dr. Hassan bin Basri, Presiden & Naib Canselor UNISEL.
Bengkel ini turut dihadiri oleh:
YBhg. Profesor Dr. Abdullah Bade (Universiti Malaysia Sabah) -Penasihat Luar Akademik
YBhg. Ts. Dr. Raja Mohd Tariqi bin Raja Lope Ahmad (Devlab Digital Sdn. Bhd.) — Penasihat Luar Industri
Bengkel ini memberi tumpuan kepada pengukuhan struktur akademik Universiti dan pembangunan kurikulum baharu yang selaras dengan keperluan industri serta hala tuju pendidikan masa kini. Hasil daripada bengkel ini, UNISEL bakal memperkenalkan kursus AI MPU Universiti untuk semua pelajar tanpa mengira bidang pengajian. Kursus ini memberi penekanan kepada pemahaman peranan Kecerdasan Buatan (AI) dalam konteks masyarakat, etika, dan pembangunan ekonomi digital.
Matlamatnya, melahirkan graduan celik AI dan berfikiran digital, yang mampu memanfaatkan teknologi secara beretika dan bertanggungjawab dalam kehidupan serta kerjaya masa hadapan.
Selain itu, UNISEL bakal menjadi universiti pertama di Malaysia yang akan memperkenalkan program Diploma Applied Artificial Intelligence (AI) yang akan ditawarkan oleh Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran. Uniknya, program ini turut menekankan penerapan elemen kreatif media digital, membolehkan pelajar meneroka integrasi AI dalam bidang seperti reka bentuk visual, kandungan interaktif, animasi pintar, dan komunikasi digital.
Langkah ini membuktikan komitmen UNISEL untuk terus menjadi peneraju pendidikan berasaskan teknologi dan inovasi melahirkan graduan yang berdaya saing, beretika dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Layari: fcvac.unisel.edu.my
Daftar atas talian: apply.unisel.edu.my