14/07/2026
PROGRAM G.L.O.W II 2026: ENGLISH WORKSHOP FOR BEGINNERS
MELAKA, 27 Jun 2026 β Program G.L.O.W II 2026: English Workshop for Beginners telah berjaya dilaksanakan di Balairaya Kampung Pengkalan Rama Pantai, Melaka dengan penyertaan komuniti setempat dalam suasana pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan.
Program anjuran Kelab Hotel and Tourism Society (HOTOUR), Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Pengkalan Rama Pantai ini membawa tema "Empowering Communities Through Language Learning" sebagai usaha memperkasakan komuniti melalui pembelajaran Bahasa Inggeris.
Bengkel ini bertujuan memperkenalkan asas komunikasi dalam Bahasa Inggeris kepada peserta melalui pelbagai aktiviti yang menarik dan mudah difahami. Antara modul yang dijalankan termasuk Greetings, Vocabulary, Simple Sentences, Everyday Conversation serta Communication Practice yang memberi peluang kepada peserta untuk mempraktikkan kemahiran komunikasi secara langsung, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk bertutur dalam bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian.
Program ini turut diserikan dengan sesi perkongsian ilmu oleh Dr. Fazillah Binti Sulaiman, Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Melaka, yang telah menyampaikan pengajaran secara interaktif dan berkesan, sekali gus mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan menyeronokkan.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Dr. Fauzunnasirah, Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan; Tuan Haji Kamaruddin Bin Mohd Yasin, Pengerusi JPKK Pengkalan Rama Pantai serta En. Afham Bin Mohd Sharif, Pengerusi KRT Pengkalan Rama Pantai
Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr. Nor Asikin Binti Shaharuddin, Penasihat Kelab Hotel and Tourism Society (HOTOUR), atas bimbingan, sokongan dan komitmen beliau dalam memastikan kelancaran penganjuran program ini. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada semua jawatankuasa pelaksana, rakan kerjasama, sukarelawan, ibu bapa serta para peserta yang telah memberikan komitmen dan kerjasama sepanjang program berlangsung. Sebagai tanda penghargaan, sijil penyertaan telah disampaikan kepada semua peserta yang berjaya mengikuti bengkel ini.
Semoga penganjuran Program G.L.O.W II dapat terus menjadi platform yang memperkasakan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan komuniti, di samping mengukuhkan hubungan strategik antara UiTM dan masyarakat setempat melalui aktiviti pemindahan ilmu yang memberi manfaat kepada semua pihak.
πΈ Terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan Program G.L.O.W II 2026: English Workshop for Beginners. Semoga bertemu lagi dalam program-program akan datang.