31/08/2016
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-59 untuk semua warga negeri Kedah.
Sedikit perkara yang saya ingin sampaikan sempena hari Kemerdekaan kita, Harumnya kemerdekaan yang kita cium ini adalah hasil perjuangan wira-wira Tanah Melayu ketika itu dari zaman penjajahan Portugis sehinggalah British. Segala pengorbanan mereka ini haruslah kita kenang sampai bila-bila. Dahulu kemerdekaan dituntut dengan pelbagai cara, ada wira yang menuntut kemerdekaan dengan darah, ada wira yang menuntut kemerdekaan dengan diplomasi.
Pandangan saya, pahlawan baik haluan kiri mahupun kanan haruslah kita potretkan mereka sebagai pejuang kemerdekaan. Masyarakat Malaysia khususnya orang muda perlu tahu hakikat ini bahawa perjuangan kemerdekaan bukanlah datang dari satu pihak atau satu organisasi tertentu sahaja seperti yang sering kita dengar. Orang muda perlu tahu Tanah Melayu bukan sahaja dijajah oleh Jepun dan ideologi Komunis sahaja, sebenarnya kita dijajah lebih lama oleh pihak British, segala hasil bumi kita diratah dan dibawa pulang ke negara mereka tanpa ada sedikit pun yang tinggal dan bila mana hasil itu mula hilang barulah mereka mahu keluar darpada Tanah Melayu. Perpaduan yang harmoni hampir rosak disebabkan oleh British yang mana kita boleh lihat kesannya hingga sekarang. Kekuatan negara kita ialah perpaduan bangsanya. Kita Bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik, kita Bangsa Malaysia berkongsi satu bahasa yang sama, kita bangsa Malaysia berkongsi satu langit yang sama jadi mengapa perlu ada sifat perkauman sedangkan negara luar kagum dengan perpaduan yang kita ada ini.
Orang muda, jangan kita tewas dengan minda barat yang sedikit demi sedikit menjajah minda kita sehingga hilang identiti, budaya, dan warisan. Dahulunya British sangat angkuh apabila datang ke Tanah Melayu dengan alasan mahu tamadunkan Tanah Melayu tetapi telah kita buktikan tanpa British rakyat Malaysia bisa membangunkan negara ini tanpa telunjuk mereka. Nama Malaysia telah harum serata dunia dalam pelbagai aspek kerana masyarakat pasca-merdeka telah menunjukkan ketamadunan itu bukan datang dari orang luar tetapi kerana identiti rakyat itu sendiri. Oleh itu pertahankanlah apa yang kita ada, demi kelangsungan keamanan dan keharmonian yang telah kecapi ini.
Keharuman Kemerdekaan adalah milik semua.
Budak Segak Hujung Simpang
Alumni Felo Kedah Aman Makmur