15/08/2026
13–14.8.2026 I Pemerkasaan Kemahiran Digital Pelajar Tahfiz melalui Program USR Pusat TVET UniMAP
Menggabungkan pendidikan tahfiz dengan kemahiran teknologi merupakan antara pendekatan dalam menyediakan generasi muda yang lebih bersedia menghadapi perubahan dunia digital.
Pusat TVET Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama MNF TVET College telah menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR): Bengkel Pemerkasaan Kemahiran Digital – Reka Bentuk Grafik dan AutoCAD pada 13 hingga 14 Ogos 2026 bertempat di Makmal CADCAM, Pusat TVET UniMAP.
Program ini memberi peluang kepada pelajar daripada Pondok Moden Darussalam Changlun (PMDC) dan Maahad Tahfiz Sains Darul Muttaqin (MASDAR) untuk meneroka kemahiran digital melalui pendekatan pembelajaran secara praktikal (hands-on).
Dua bidang utama telah diketengahkan sepanjang program:
Reka Bentuk Grafik | 13 Ogos 2026
Dikendalikan oleh Encik Ahmad Zulhusny bin Rozali, dengan bantuan Mohd Juraij bin Abd Rani dari Fakulti Perniagaan dan Komunikasi UniMAP. Para peserta didedahkan kepada asas penghasilan kandungan visual dan penggunaan kemahiran reka bentuk dalam persekitaran digital.
Lukisan Kejuruteraan & AutoCAD | 14 Ogos 2026
Dikendalikan oleh Encik Khairul Nizam Sultan Ali dari Fakulti Komputeran Cerdas. Sesi ini memperkenalkan peserta kepada asas lukisan teknikal serta penggunaan AutoCAD sebagai salah satu platform penting dalam bidang reka bentuk dan kejuruteraan.
Lebih daripada sekadar bengkel, program ini menjadi platform untuk memperluas akses kepada pendidikan TVET dan kemahiran digital, sekali gus memberi pendedahan baharu kepada pelajar tahfiz mengenai potensi pendidikan serta kerjaya dalam bidang teknologi dan kejuruteraan.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada MNF TVET College, barisan tenaga pengajar, guru-guru MASDAR dan PMDC, para pelajar serta seluruh jawatankuasa yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan program ini.Semoga ilmu dan pengalaman yang diperoleh menjadi pencetus minat untuk terus meneroka kemahiran baharu serta menjadi bekalan berguna dalam mendepani keperluan masa hadapan.
Pejabat TNC Akademik & Antarabangsa Universiti Malaysia Perlis
Universiti Malaysia Perlis