24/09/2026
🎓 PROGRAM INTERAKTIF JOM MASUK UMK SANTUNI 115 MURID DARJAH 6 SK BUKIT MARAK
BACHOK, 24 SEPTEMBER 2026 (KHAMIS) — Menerusi inisiatif Sekolah Angkat MADANI (SAM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terus memperkukuh komitmen dalam memperkasa pendidikan dan pembangunan potensi murid melalui pelaksanaan Program Interaktif Jom Masuk UMK bersama Sekolah Kebangsaan Bukit Marak (SKBM).
Program yang berlangsung di Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu, UMK Bachok itu melibatkan seramai 115 orang murid Tahun 6 daripada SK Bukit Marak dengan sokongan tiga buah bas.
Pelaksanaan program ini merupakan sebahagian daripada Program Sekolah Angkat MADANI bagi Komponen 2 (Bimbingan dan Sokongan) yang memberi tumpuan kepada usaha memperluas akses pendedahan pendidikan, memperkaya pengalaman pembelajaran serta membangunkan potensi murid secara holistik.
Menerusi Program Interaktif Jom Masuk UMK, para murid berpeluang mengenali dengan lebih dekat persekitaran kampus, kemudahan serta suasana pembelajaran di institusi pengajian tinggi.
Pendedahan ini turut menjadi platform untuk menyemai aspirasi dan membina keyakinan murid terhadap peluang melanjutkan pengajian ke peringkat universiti pada masa hadapan.
Selain itu, program turut diserikan dengan pengisian Program Speak English! serta Program Memperkasa STEM Tahun 6 yang memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran komunikasi Bahasa Inggeris dan pemupukan minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Inisiatif ini mencerminkan komitmen UMK sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja berperanan dalam menyediakan pendidikan berkualiti, malah turut aktif membina jaringan pendidikan bersama sekolah melalui pendekatan bimbingan, pendedahan, pengayaan ilmu dan pembangunan bakat generasi muda.
Kerjasama strategik antara UMK dan SK Bukit Marak diharapkan dapat terus membuka ruang kepada murid untuk meneroka potensi diri, membina cita-cita serta melihat pendidikan tinggi sebagai sebahagian daripada laluan penting dalam membentuk masa depan yang lebih bermakna.
malaysiamadani