19/08/2026
UMK JADI TUAN RUMAH ALAM 12, ANGKAT WARISAN 'SEMUTAR' DALAM SENIBINA LANDSKAP
UMK Bachok, 19 Ogos 2026 I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Jabatan Senibina Landskap, Fakulti Senibina dan Ekistik (FSE) menjadi tuan rumah bagi program perhimpunan pelajar-pelajar senibina landskap Malaysia atau 12th Assembly of Landscape Architecture Students Malaysia (ALAM 12).
Program yang berlangsung selama empat hari bermula 16 hingga 19 Ogos 2026 itu diadakan di UMK Bachok, Kelantan.
ALAM 12 kali ini memilih tema 'SEMUTAR' bagi mengangkat keunikan serta estetika pemakaian kain hiasan kepala tradisional masyarakat Kelantan yang sarat dengan falsafah, pemikiran, dan idea warisan purba.
Menurut Dekan Fakulti Senibina dan Ekistik (FSE), Prof. Madya Dr. Shardy bin Abdullah, ALAM 12 telah menerima penyertaan seramai 110 pelajar yang mewakili tujuh buah institusi akademik utama dari seluruh negara bagi berkongsi idea, kepakaran, dan memperkukuh jaringan kerjasama industri.
Beliau berkata, dekad ini teknologi berkembang dengan begitu pantas dimana dunia pekerjaan berubah termasuklah cara berkomunikasi dan berkarya juga berubah.
“Namun, dalam kita mengejar kemajuan, jangan sampai kita lupa akar kita. Warisan seperti semutar perlu terus dihidupkan, dihargai dan diberikan nafas baharu oleh generasi muda.
“Penggunaan tema SEMUTAR pada ALAM12 bertujuan untuk menterjemahkan kekayaan kreativiti budaya tempatan ke dalam ekspresi reka bentuk landskap kontemporari dalam kalangan bakal arkitek landskap masa hadapan,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup ALAM12 – BEKWOH 2026 di Dewan Tuanku Canselor (DTC), UMK Bachok, Kelantan, hari ini.
Beliau menyifatkan bahawa di sinilah kaitannya SEMUTAR dengan Senibina Landskap dan sebagai mahasiswa Senibina Landskap, saudara dan saudari bukan hanya belajar bagaimana untuk mereka bentuk ruang tetapi belajar bagaimana untuk membaca tempat, memahami budaya dan menterjemahkan identiti sesuatu masyarakat ke dalam ruang.
“Maka, warisan seperti semutar, wau, seni bina tradisional dan budaya masyarakat setempat
boleh menjadi sumber inspirasi dalam menghasilkan ruang yang mempunyai identiti dan
makna.
“Universiti bukan sekadar medan mengejar CGPA, malah ia merupakan wadah penting untuk membina kematangan diri serta mempersiapkan peribadi sebagai profesional yang serba boleh.
“Dalam mendepani cabaran global seperti perubahan iklim, bencana banjir, kehilangan biodiversiti, dan kepesatan pembangunan bandar, bidang Seni Bina Landskap kini memikul peranan yang jauh lebih kritikal.
“Hal ini kerana landskap adalah tentang kehidupan manusia yang merangkumi penciptaan ruang yang selesa dan selamat, pengurusan sumber air yang mampan, pemeliharaan alam sekitar, serta pengekalan identiti dan warisan sesuatu tempat,” jelas beliau.
Justeru, Prof. Madya Dr. Shardy menaruh harapan tinggi pelajar bangkit sebagai generasi arkitek landskap baharu yang bukan sahaja kreatif, malah dilengkapi pemikiran kritikal, kesedaran alam sekitar yang mendalam, penguasaan kemahiran digital, serta keberanian untuk memacu inovasi.
Pelbagai pengisian menarik telah berlangsung sepanjang ALAM12 antaranya Sesi Program Kecek Kiro/Forum ALAM 12 bersama Panel Jemputan, Pertandingan Sobek Wau/Pertandingan rekaan arca antara kontinjen, Raso-pah-Hungga|Aktiviti menjelajah kampus UMK Bachok Sekitar Kampus UMK Bachok, Kugha Semutar | Mewarna Kain Semutar, Make Sello dan kemuncak program ialah Bekwoh ALAM 12 atau Majlis Perasmian Penutup ALAM 12 dan sesi penyampaian hadiah kepada kontinjen.
Naib Canselor UMK
Pejabat TNCAA UMK
My HEPA UMK
Pejabat Tncpi Umk Rasmi
Pejabat Pendaftar UMK
Jangan lupa untuk Follow, Like, Comment & Share.
Tahniah Landscape Architecture Department FAE UMK