24/09/2026
KOBE–UKM LEAF 2026: MOBILITI ANTARABANGSA FUU UKM KE UNIVERSITI KOBE, JEPUN
📅 14–18 September 2026
📍 Graduate School of Law, Universiti Kobe, Jepun
Delegasi Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (FUU UKM) telah menyertai program KOBE–UKM LEAF 2026: Law, Economy, Asia, and the Future – Malaysia-Japan Perspectives in Econo-Legal Studies yang berlangsung di Graduate School of Law, Universiti Kobe, Kampus Rokkodai, Jepun.
Delegasi FUU UKM diketuai oleh Prof. Dr. Hasani Mohd Ali (Penyelaras Program) bersama Dr. Siti Farahiyah Ab Rahim (Ketua Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) serta 10 orang pelajar yang terdiri daripada enam (6) pelajar prasiswazah dan empat (4) pelajar pascasiswazah. Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, delegasi telah disambut mesra oleh Prof. Narufumi Kadomatsu, penyelaras program dari Universiti Kobe.
Sepanjang program, pensyarah dan pelajar kedua-dua universiti terlibat dalam sesi pembentangan dan perbincangan ilmiah berteraskan perspektif perbandingan Malaysia–Jepun. Antara topik yang dibincangkan ialah liabiliti pengarah syarikat, perlindungan data kesihatan, undang-undang tort, isu overtourism, kecerdasan buatan (AI), hak kesihatan kanak-kanak Orang Asli serta dasar sosial bagi negara dengan populasi menua. Setiap pembentangan disusuli sesi soal jawab serta maklum balas membina daripada pensyarah kedua-dua universiti bagi membantu pelajar memperhalusi idea dan penyelidikan mereka.
Program turut diserikan dengan majlis resepsi dan sesi ramah mesra antara delegasi FUU UKM dan warga Universiti Kobe, yang memberi ruang kepada pensyarah dan pelajar untuk berinteraksi serta mengeratkan hubungan antara kedua-dua universiti. Delegasi juga berpeluang mengadakan lawatan pembelajaran ke The Great Hanshin-Awaji Earthquake Memorial, Disaster Reduction and Human Renovation Institution di Kobe.
*Majlis penutup telah disempurnakan oleh Dekan FUU UKM, Prof. Dr. Rasyikah Md. Khalid, dan diakhiri dengan penyampaian cenderahati FUU UKM kepada Universiti Kobe sebagai tanda penghargaan atas sambutan mesra, layanan dan kerjasama sepanjang program. Setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh warga Universiti Kobe atas hospitaliti dan pengalaman bermakna yang diberikan kepada delegasi UKM.
Pengalaman kehidupan harian di Kobe turut memberi pendedahan kepada pelajar mengenai budaya disiplin, penggunaan pengangkutan awam serta gaya hidup aktif melalui amalan berjalan kaki sebagai sebahagian daripada rutin harian masyarakat Jepun. Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman akademik pelajar, malah membuka ruang kepada pertukaran ilmu, budaya dan persahabatan serta mengeratkan hubungan akademik antara FUU UKM dan Universiti Kobe. 🇲🇾🤝🇯🇵