05/08/2026
SESI ZIARAH PELAJAR YANG DITIMPA MUSIBAH (MUHAMMAD HAZIQ DANISH BIN MOHD ARSHAD)
4 Ogos 2026โ Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus menzahirkan komitmen dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa menerusi sesi ziarah kepada pelajar yang ditimpa musibah, **Muhammad Haziq Danish bin Mohd Arshad**, pelajar Tahun 1, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), yang terlibat dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.
Sesi ziarah tersebut diketuai oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nor Haslinda binti Abas, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), bersama wakil Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB). Turut hadir Tn. Hj. Naim bin Maslan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan UTHM; Pn. Suhailah binti Muhammad Philip, Ketua Bahagian Kebajikan dan Kesejahteraan Pelajar, Pejabat Hal Ehwal Pelajar; serta Saudara Rashid Haqem bin Rashidi, wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), sebagai tanda sokongan moral dan keprihatinan warga universiti terhadap pelajar serta keluarga.
Dalam sesi tersebut, pihak universiti turut menyampaikan sumbangan kebajikan daripada Yayasan UTHM. Selain itu, UTHM turut menanggung kos rawatan dan pembedahan pelajar sebagai usaha meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga, di samping memastikan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan.
Bagi memastikan kelangsungan pengajian pelajar tidak terjejas, universiti melalui fakulti serta pihak-pihak berkaitan akan memberikan sokongan yang sewajarnya, termasuk pemantauan berterusan terhadap keperluan akademik dan kebajikan pelajar sehingga beliau pulih sepenuhnya.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan UTHM dalam memperkukuh budaya prihatin dan kesejahteraan mahasiswa, selaras dengan aspirasi universiti untuk memastikan setiap pelajar mendapat sokongan yang diperlukan serta tiada yang tercicir daripada menerima bantuan kebajikan apabila berdepan dengan musibah.