13/04/2026
ANUGERAH SENI UiTM (ASU) 2025: MAHASISWA UiTM CAWANGAN TERENGGANU RAIH KEJAYAAN MEMBANGGAKAN
Shah Alam, 3 April 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu terus melakar kejayaan apabila tiga orang mahasiswa daripada Kampus Dungun berjaya merangkul anugerah dalam Anugerah Seni UiTM (ASU) 2025 yang telah berlangsung di Hotel UiTM Shah Alam.
Mahasiswa yang mengharumkan nama UiTM Cawangan Terengganu adalah:
• Engku Aishah Zahra binti Engku Ahmad Zaki – Anugerah Perak bagi Anugerah WiraSeni Harapan Siswi
• Muhammad Azfar Aqasyah bin Azemi – Anugerah Gangsa bagi Anugerah WiraSeni Harapan Siswa
• Nuraleeya Batrisyia binti Zulkifli – Anugerah Gangsa bagi Anugerah Serikandi Siswi
Kesemua penerima anugerah merupakan ahli Kelab Kerabat Kebudayaan UiTM Kampus Dungun yang aktif dan komited dalam memperkasa seni dan budaya kampus. Kejayaan ini adalah hasil bimbingan berterusan daripada Unit Kebudayaan UiTM Cawangan Terengganu serta sokongan padu daripada pihak pengurusan universiti.
Unit Kebudayaan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Amirudin bin Mohd Zani, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan merangkap Penasihat Kelab Kerabat Kebudayaan UiTM Kampus Dungun, atas dedikasi dan komitmen dalam membentuk bakat mahasiswa.
Majlis Anugerah Seni UiTM 2025 ini telah disempurnakan dengan ucapan perasmian dan penutup oleh Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar). Turut hadir memeriahkan majlis ialah Prof. Madya Dr. Ermeey Abd. Kadir, Rektor UiTM Cawangan Terengganu, sebagai tanda sokongan padu terhadap pencapaian mahasiswa.
Penghargaan turut dizahirkan kepada Prof. Madya Ts. Dr. Sarifah Fauziah Syed Deraman, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Cawangan Terengganu, atas sokongan dan kepimpinan yang berterusan dalam memperkasa pembangunan sahsiah serta bakat mahasiswa.
Kejayaan ini membuktikan bahawa mahasiswa UiTM Cawangan Terengganu bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu bersaing dan menyerlah dalam bidang seni dan kebudayaan di peringkat universiti.
“Seni Memperkasa Jiwa, Budaya Membina Bangsa.”