24/09/2026
HARI SUAI KENAL FTKKP SESI 2026/2027
23 September 2026 | UMPSA Kampus Paya Besar
Selamat datang kepada 322 pelajar baharu ke keluarga Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Kehadiran pelajar bagi Semester I, Sesi Akademik 2026/2027 diraikan menerusi program Hari Suai Kenal (HSK), slot Faculty Life@FTKKP, sebagai pengenalan kepada kehidupan kampus dan perjalanan akademik di fakulti.
Bagi sesi 2026/2027 ini, program Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian (BKC) menerima 101 pelajar baharu, diikuti program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Petroleum) dengan Kepujian (BTO) dengan 64 pelajar dan program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian (BTK) seramai 58 pelajar. Turut menyertai keluarga FTKKP ialah 49 pelajar program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) (BTF), manakala program Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas dengan Kepujian (BVF) dan program BVF -TVET Borneo Pesisir masing-masing mencatatkan pendaftaran seramai 33 dan 17 pelajar.
Program dimulakan dengan ucapan aluan Dekan FTKKP, Prof. Ts. Dr. Sumaiya Binti Zainal Abidin@Murad. Seterusnya, pelajar diperkenalkan kepada pengurusan akademik dan penerangan mengenai hal ehwal pelajar yang masing- masing disampaikan oleh Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa), Prof. Madya Ts. Dr. Nasratun binti Masngut dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Madya Ir. Dr. Syed Mohd Saufi bin Tuan Chik.
Seterusnya, slot diteruskan dengan penerangan peluang mobiliti antarabangsa serta penglibatan dalam ChEST dan badan profesional. Pelajar juga menerima maklumat berkaitan anugerah dan hadiah konvokesyen. Pelajar juga didedahkan dengan peluang program ijazah dual (dual degree) di FTKKP iaitu Program kerjasama dengan Mannheim University of Applied Sciences (HMA), Jerman dan Program Kerjasama dengan Tianjin University (TJU), China oleh wakil daripada Pusat Kerjasama Strategik & Akademik (PKSA) dan Ketua Jabatan Kejuruteraan Kimia sendiri iaitu Prof. Madya Dr. Noor Asma Fazli Bin Abdul Samad.
Program HSK diteruskan dengan sesi perancangan pengajian bersama ketua jabatan bagi program masing- masing dan penasihat akademik bagi membantu pelajar memahami hala tuju pengajian mereka sehingga tamat pengajian.
Selamat menempuh alam universiti buat semua mahasiswa baharu FTKKP. Semoga perjalanan di UMPSA dipenuhi pengalaman bermakna dan kecemerlangan akademik!