22/09/2026
HARI C-1: AMIR FITRI BERSIAP UNTUK CABARAN WORLDSKILLS SHANGHAI 2026
22 September 2026 | Shanghai, China
Sehari sebelum bermulanya pertandingan sebenar WorldSkills Competition (WSC) Shanghai 2026, wakil Malaysia dalam bidang Refrigeration and Air Conditioning (RAC), Muhammad Amir Fitri bin Mohd Seifulrizam kini bersiap sedia untuk menggalas cabaran di pentas kemahiran dunia.
Amir Fitri yang merupakan peserta negara dari ADTEC JTM Kampus Jitra, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) telah selamat tiba di Shanghai pada 19 September 2026 bagi membuat persediaan akhir sebelum pertandingan bermula.
Pada hari ini, Jurulatih Negara, En. Muhamad Kamal, turut menyertai Kontinjen Malaysia di Shanghai bagi bersama-sama memberikan bimbingan dan sokongan kepada Amir Fitri sepanjang pertandingan.
Turut hadir ke Shanghai ialah beberapa orang kakitangan ADTEC JTM Kampus Jitra bagi memberikan sokongan moral dan semangat kepada wakil negara. Dua orang daripada pasukan Pakar Negara juga turut serta atas inisiatif sendiri bagi membantu dari aspek teknikal sepanjang tempoh pertandingan.
Bagi bidang RAC, Amir Fitri bakal berdepan saingan daripada 27 negara termasuk India, Chinese Taipei, Australia, Hong Kong, Germany, United Kingdom, Iran, Brazil, Austria, China, Korea, New Zealand, Japan, Philippines, Uzbekistan, Thailand, Namibia, Indonesia, Morocco, Saudi Arabia, South Africa, Costa Rica, Canada, Vietnam, Spain dan Hungary.
Pertandingan bidang RAC akan menguji keupayaan peserta dalam pelbagai aspek teknikal termasuk pemasangan sistem penyejukan, pentauliahan sistem, mengenal pasti serta membaiki kerosakan, sistem elektrik, fabrikasi komponen dan kerja brazing.
Malam ini, Amir Fitri bersama Kontinjen Malaysia akan menghadiri Majlis Pembukaan WSC Shanghai 2026 sebelum memulakan cabaran pertandingan pada esok hari.
Seluruh warga ADTEC JTM Kampus Jitra mendoakan agar Amir Fitri diberikan ketenangan, ketelitian dan kekuatan untuk memberikan persembahan terbaik sepanjang pertandingan.
Bawa nama Malaysia.
Bawa nama JTM.
Bawa nama ADTEC JTM Kampus Jitra.
Selamat bertanding, Amir Fitri! 🇲🇾
Doa dan sokongan kami sentiasa mengiringi perjuanganmu di Shanghai.