24/09/2026
LAWATAN AKADEMIK KE PENJARA SIMPANG RENGGAM ANJURAN UNIT PENGAJIAN MALAYSIA
Khamis, 24 September 2026
Seramai 35 orang pelajar Program Diploma yang terdiri daripada DED 2A, DPP 2A dan DGS 2A, bersama dua orang pensyarah Pengajian Malaysia telah menyertai Lawatan Akademik ke Penjara Simpang Renggam.
Lawatan dimulakan dengan taklimat daripada pihak Penjara Simpang Renggam yang memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai maklumat am, fungsi serta peranan institusi penjara.
Seterusnya, para pelajar diberi eluang melawat bengkel Kimpalan TVET Penjara. Peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar untuk melihat sendiri aktiviti latihan kemahiran yang dijalankan serta beramah mesra dan bertukar pengalaman bersama prospek-prospek serta tenaga pengajar penjara.
Dalam masa yang sama, pensyarah dan wakil pelajar, Saudara Marwan Al-Hakim daripada DGS 2A, telah dijemput khas oleh pihak Penjara Simpang Renggam untuk melihat sendiri kehidupan serta aktiviti harian di dalam penjara. Antara yang dilawati adalah bengkel perusahaan pembuatan kerepek tempe serta kebun tanaman sara diri yang mengusahakan tanaman seperti terung, padi, serai dan kangkung.
Menurut Ketua Unit Pengajian Malaysia, Pn. Syuhana binti Sulaiman, pengalaman yang diperoleh melalui lawatan ini bukan sekadar memberi pendedahan kepada pelajar tentang aspek TVET dan latihan kemahiran, malah membuka ruang untuk mereka memahami nilai disiplin, tanggungjawab, usaha dan menghargai erti kebebasan yang sebenar.
Pengalaman ini diharapkan menjadi satu pengajaran yang bermakna dan sentiasa diingati oleh para pelajar dalam membentuk jati diri serta mempersiapkan mereka untuk menghadapi kehidupan dan alam pekerjaan pada masa hadapan.
Terima kasih diucapkan kepada pihak Penjara Simpang Renggam atas penerimaan, kerjasama dan layanan yang diberikan kepada rombongan TVETMARA Johor Bahru.