20/08/2026
Kunjungan Rasmi IBRAZ USIM ke KUIJSI Perkukuh Kerjasama Strategik
Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) telah menerima kunjungan rasmi daripada Institut Pengajian Bahasa Arab (IBRAZ), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam usaha meneroka dan memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua institusi.
Kunjungan tersebut memberi tumpuan kepada perbincangan berkaitan pelaksanaan Kursus Intensif Bahasa Arab, Imtihan Tahdid Mustawa (ITM) dan Imtihan Akhir Mustawa (IAM) sebagai persediaan kepada pelajar yang berhasrat melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar, Mesir.
IBRAZ merupakan pusat penyelarasan Kursus Intensif Bahasa Arab di Malaysia dengan kerjasama Markaz Tatwir Ta'lim al-Tullab al-Wafidin wa al-Ajanib, Universiti al-Azhar, Mesir. Selain itu, IBRAZ turut menyelaras pelaksanaan ITM dan IAM sebagai antara syarat penting kepada calon Malaysia yang ingin melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar.
Kunjungan ini diharapkan dapat membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara KUIJSI dan USIM, khususnya dalam memperkukuh penguasaan Bahasa Arab serta menyediakan laluan dan persediaan yang lebih sistematik kepada pelajar KUIJSI untuk melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar, Mesir.