20/10/2026
FTK UTHM PERKUKUH JALINAN ANTARABANGSA MELALUI PROGRAM MOBILITI UNIVERSITAS NEGERI MALANG, INDONESIA
19 Oktober 2026
Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh jaringan akademik antarabangsa menerusi penganjuran Program Mobiliti Antarabangsa bersama Universitas Negeri Malang (UNM), Indonesia, yang berlangsung dari 16 hingga 20 Oktober 2026.
Mobiliti Antarabangsa ini disertai oleh enam orang delegasi dari Fakulti Pengajian Vokasional (FPV), UNM yang diketuai oleh pensyarah, Bapak Rais Amin, bersama lima orang pelajar program Kejuruteraan Awam.
🤝 Memperkasa Jaringan Akademik dan Pertukaran Ilmu.
Ketibaan delegasi UNM disambut oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FTK, Prof. Ts. Dr. Suraya Hani binti Adnan, bersama warga JTKA dan para pelajar UTHM.
Sepanjang program, delegasi ini menyertai pelbagai aktiviti akademik di UTHM Kampus Pagoh, termasuk lawatan ke makmal Teknologi Kejuruteraan Awam, sesi pengenalan program akademik FTK, perkongsian idea serta pertukaran ilmu dan pengalaman.
Penglibatan dalam sesi pembelajaran di bilik kuliah (student engagement) dalam kursus BNC31703 Teknologi Kejuruteraan Infrastruktur turut membuka ruang interaksi antara pelajar kedua-dua institusi, sekali gus memperkayakan pengalaman pembelajaran dalam persekitaran antarabangsa.
🏛️ Menyelami Warisan Sejarah dan Budaya Malaysia.
Selain pengisian akademik, program ini turut mengetengahkan aspek pendedahan industri, warisan dan sosio-budaya melalui lawatan ke Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), yang diketuai oleh Ketua Center of Industry (COI), Prof. Madya Sr. Ts. Dr. Mohammad Ashraf bin Abdul Rahman.
Lawatan ini menjadi platform perkongsian ilmu berkaitan pengurusan, pemeliharaan dan pemuliharaan warisan sejarah serta budaya. Pendedahan terhadap amalan terbaik dalam pengurusan warisan turut membuka peluang untuk memperkukuh persefahaman dan kerjasama antara Malaysia dengan Indonesia dalam usaha memartabatkan khazanah sejarah dan budaya serumpun.
🌟 Melangkaui Sempadan, Membina Masa Hadapan.
Program mobiliti ini bukan sekadar pertukaran pengalaman akademik, malah menjadi wadah untuk membina jaringan antarabangsa, memperluas perspektif global pelajar serta menyemai semangat kolaborasi dalam kalangan warga akademik.
JTKA mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Program, Ir Ts Dr Mohamad Hairi bin Osman, Penyelaras mobiliti antarabangsa FTK, Ts Dr Wan Amizah binti Wan Jusoh serta staf JTKA terlibat atas kejayaan penganjuran program ini.
Semoga hubungan strategik antara FTK, UTHM dan FPV, UNM terus berkembang melalui kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, mobiliti pelajar serta pelancongan warisan dan budaya, seterusnya melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global.
FTK UTHM — Memperkasa Ilmu, Merentas Sempadan, Menghubungkan Budaya! 🌏