22/09/2026
𝗠𝗮𝗵𝗮𝘀𝗶𝘀𝘄𝗮 𝗨𝗡𝗜𝗧𝗘𝗡 𝗦𝗮𝗻𝘁𝘂𝗻𝗶 𝗞𝗼𝗺𝘂𝗻𝗶𝘁𝗶 𝗣𝘂𝗹𝗮𝘂 𝗣𝗮𝗻𝗴𝗸𝗼𝗿
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menyaksikan pelepasan 40 unit tukun konkrit ke perairan Pulau Pangkor sempena majlis penutup Program Semarak Siswa 2026 di Pulau Pangkor, Perak, semalam.
Program yang berlangsung dari 17 hingga 20 September itu bertemakan "Siswa Berbakti, Rakyat Disantuni" dan disertai 84 peserta, terdiri daripada 80 pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) serta peserta dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Pelepasan tukun itu dilaksanakan melalui Projek Tukun sebagai usaha memulihkan habitat hidupan laut dan menyokong kelestarian sumber marin. Inisiatif tersebut mencerminkan tanggungjawab bersama untuk memelihara ekosistem marin dan memastikan khazanah alam terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Sepanjang program, peserta melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan merangkumi pendidikan STEM, teknologi dan kelestarian serta kebajikan. Antaranya bengkel robotik asas TechTrek, penyerahan inovasi pengering makanan solar Eco Food Dryer, pemasangan 10 unit lampu solar di tanah perkuburan dan sekolah, penanaman lebih 200 anak pokok ambun-ambun, serta naik taraf pendawaian elektrik Masjid Teluk Raja Bayang.
Sebanyak 100 kotak infaq kit diagihkan kepada keluarga berpendapatan rendah, warga emas dan asnaf di lima buah kampung sekitar Pulau Pangkor, termasuk Kampung Masjid, Kampung Teluk Gedung dan Kampung Teluk Kecil.
Peserta turut melukis mural di SMK Pangkor, menghiasi pondok SK Seri Pangkor dan menganjurkan bengkel First Aider, selain aktiviti sukan bersama masyarakat setempat.
Semarak Siswa anjuran Persatuan Pelajar Residensi Cendekiawan UNITEN itu menjadi platform untuk mahasiswa turun ke lapangan, mendekati masyarakat dan menerapkan ilmu melalui khidmat yang memberi manfaat nyata kepada penduduk setempat.
UNITEN komited untuk terus melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki jiwa kesukarelawanan, kepekaan terhadap alam sekitar dan kesediaan berbakti kepada negara.