16/07/2026
FORMULA ISTIQAMAH MENURUT AL-QURAN
Tadabbur Surah Hūd: 112–115
Allah SWT bukan sahaja memerintahkan Rasulullah ﷺ supaya beristiqamah di atas jalan yang benar, bahkan Dia turut menggariskan formula rabbani untuk mengekalkan istiqamah sehingga ke akhir hayat.
Firman Allah SWT:
> ﴿فَاسۡتَقِمۡ كَمَاۤ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡا۟ۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِیرٌ﴾
"Maka hendaklah engkau tetap teguh (beristiqamah) sebagaimana yang diperintahkan, dan demikian juga orang-orang yang bertaubat bersamamu. Dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan."
(Surah Hūd: 112)
Perintah ini bukan hanya ditujukan kepada Rasulullah ﷺ, bahkan kepada seluruh umat Baginda yang telah memilih jalan iman, taubat dan perjuangan. Istiqamah bukan sekadar azam di hati, tetapi menuntut komitmen untuk terus berada di atas jalan Allah sehingga ke akhir hayat.
Melalui Surah Hūd ayat 112–115, Allah SWT menggariskan empat Formula Istiqamah yang menjadi panduan kepada setiap mukmin.
1. Beristiqamah dalam ketaatan dan tidak kembali melampaui batas syariat
> ﴿فَاسۡتَقِمۡ كَمَاۤ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡا۟ۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِیرٌ﴾ (Hūd: 112)
Allah memerintahkan Rasulullah ﷺ dan orang-orang yang telah bertaubat supaya terus istiqamah dalam melaksanakan segala perintah-Nya. Pada masa yang sama, mereka diingatkan agar tidak mengulangi sikap ṭughyān, iaitu melampaui batas syariat dengan melakukan maksiat, kezaliman dan pelanggaran terhadap hukum-hakam Allah.
Dalam pengertian yang lebih luas, larangan ini juga mengingatkan agar istiqamah tidak bertukar menjadi ghuluw (melampau dalam beragama), sehingga menghukum tanpa ilmu, bersikap ekstrem atau menyimpang daripada manhaj Islam yang sederhana.
Hakikat taubat ialah meninggalkan dosa, manakala hakikat istiqamah ialah terus kekal dalam ketaatan.
2. Tidak kembali cenderung atau menyokong golongan yang melakukan kezaliman
> ﴿وَلَا تَرۡكَنُوۤا۟ إِلَى ٱلَّذِینَ ظَلَمُوا۟ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِیَاۤءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ﴾ (Hūd: 113)
Allah melarang orang-orang yang beriman daripada cenderung (rukūn) kepada golongan yang melakukan kezaliman. Larangan ini bukan sekadar tidak melakukan kezaliman, bahkan tidak meredai, tidak menyokong, tidak mempertahankan dan tidak bersandar kepada pihak yang menjadikan kezaliman sebagai amalan.
Justeru, setelah bertaubat dan memilih jalan istiqamah, seorang mukmin dituntut agar tidak kembali cenderung atau menyokong golongan yang melakukan kezaliman. Sebaliknya, kesetiaan (walā') hendaklah diberikan hanya kepada Allah SWT, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman.
> ﴿إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا﴾
"Sesungguhnya penolong dan pemimpin (wali) kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman." (Surah al-Mā'idah: 55)
3. Memelihara solat dan beramal soleh secara berterusan (istimrār)
> ﴿وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَیِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفࣰا مِّنَ ٱلَّیۡلِۚ إِنَّ ٱلۡحَسَنَـٰتِ یُذۡهِبۡنَ ٱلسَّیِّـَٔاتِۚ ذَٰلِكَ ذِكۡرَىٰ لِلذَّاكِرِینَ﴾ (Hūd: 114)
Allah memerintahkan agar solat dipelihara dan amal soleh dilakukan secara berterusan (istimrār). Solat merupakan sumber kekuatan rohani dan tujuan utamanya ialah mengingati Allah SWT.
Firman Allah SWT:
> ﴿وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِكۡرِی﴾
"Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku." (Surah Ṭāhā: 14)
Amal soleh yang dilakukan secara konsisten menghapuskan dosa, menyucikan jiwa dan mengukuhkan istiqamah.
Firman Allah SWT:
> ﴿ذَٰلِكَ ذِكۡرَىٰ لِلذَّاكِرِینَ﴾
"Yang demikian itu adalah peringatan bagi orang-orang yang sentiasa mengingati Allah."
Justeru, istiqamah dalam memelihara solat dan beristimrār dalam amal soleh akan melahirkan golongan al-Zākirīn, iaitu mereka yang sentiasa mengingati Allah dalam hati, lisan dan amal.
4. Bersabar dalam ketaatan, ujian hidup dan mehnah perjuangan
> ﴿وَٱصۡبِرۡ فَإِنَّ ٱللَّهَ لَا یُضِیعُ أَجۡرَ ٱلۡمُحۡسِنِینَ﴾ (Hūd: 115)
Kesabaran merupakan bekalan utama untuk mengekalkan istiqamah. Seorang mukmin perlu bersabar dalam melaksanakan ketaatan, tabah menghadapi ujian kehidupan dan cekal menempuh mehnah dakwah serta perjuangan.
Allah memberikan jaminan:
> ﴿فَإِنَّ ٱللَّهَ لَا یُضِیعُ أَجۡرَ ٱلۡمُحۡسِنِینَ﴾
"Sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat ihsan."
Justeru, istiqamah yang disertai kesabaran dalam ketaatan, ujian hidup dan mehnah perjuangan akan melahirkan golongan al-Muḥsinīn, iaitu mereka yang mencapai darjat ihsan dalam ibadah, akhlak dan amal serta dijamin ganjaran oleh Allah SWT.
Kesimpulan
Surah Hūd ayat 112–115 menghimpunkan Formula Istiqamah yang lengkap untuk membentuk peribadi mukmin:
1. Beristiqamah dalam ketaatan serta tidak kembali melampaui batas syariat.
2. Menolak kezaliman dan tidak cenderung kepada golongan yang zalim, sebaliknya berwalā' hanya kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman.
3. Memelihara solat dan beristimrār dalam amal soleh sehingga lahir golongan al-Zākirīn.
4. Bersabar dalam ketaatan, ujian hidup dan mehnah perjuangan sehingga mencapai darjat al-Muḥsinīn.
Istiqamah bukan sekadar keteguhan hati, tetapi suatu proses tarbiah yang membina mukmin agar sentiasa berada di atas syariat Allah, menjauhi kezaliman, memperbanyakkan amal soleh secara berterusan serta bersabar menghadapi segala ujian. Inilah jalan menuju lahirnya generasi al-Zākirīn dan al-Muḥsinīn yang diredai Allah SWT.