Bahasa Melayu Warisan Kita

Bahasa Melayu Warisan Kita Jikalau tidak bahasa dan budi,
Apa guna kaya berdaulat.

06/08/2022
18/05/2020

Dalam penggunaan bahasa Melayu hari ini, kita kadang-kadang tersilap meletakkan kata sendi `di’ di tempat `dalam’, dan frasa sendi `di dalam’ di tempat kata sendi `dalam’. Kesilapan ini berlaku kerana kekeliruan tentang fungsi kata sendi dan frasa sendi tersebut.

Di bawah ini diperturunkan contoh-contoh kesilapan penggunaan kata sendi `di’ di tempat `dalam’.

Beliau memiliki ijazah sarjana di bidang pengurusan perniagaan. (SALAH)
Beliau memiliki ijazah sarjana dalam bidang pengurusan perniagaan. (BETUL)

Di masyarakat itu, ahlinya merupakan insan yang sihat. (SALAH)
Dalam masyarakat itu, ahlinya merupakan insan yang sihat. (BETUL)

Kanak-kanak bergembira di suasana hari raya yang mulia ini. (SALAH)
Kanak-kanak bergembira dalam suasana hari raya yang mulia ini. (BETUL)

Kata sendi di digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Contohnya:

i. Majlis itu diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka.
ii. Mereka menunggu ketibaan tetamu kehormat itu di lapangan terbang.
iii. Pelajar itu menelaah pelajarannya di perpustakaan.
iv. Penderma darah mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan.
v. Mesyuarat itu diadakan di Pejabat Pendidikan Daerah.
vi. Di Paris, mereka akan mengunjungi pejabat UNESCO

Kata sendi dalam p**a digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian `lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak’ (seperti perkara, peristiwa hal, urusan, bahasa, bidang, masyarakat dan sebagainya). Mari kita amati bersama-sama contoh penggunaan kata sendi `dalam’ dalam ayat-ayat yang berikut:

i. Dalam hal ini, kita semua setuju.
ii. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus fasih bertutur dalam bahasa kebangsaan kita, iaitu bahasa Melayu.
iii. Masalah itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat yang lalu.
iv. Dia tidak terlibat dalam urusan perniagaan bapanya.
v. Hal-hal berhubung dengan kerjasama serantau telah dibincangkan dalam pertemuan antara pemimpin kedua-dua buah negara itu.
vi. Beliau merupakan contoh belia yang aktif dalam pelbagai kegiatan kebajikan.
vii. Persoalan itu bermain-main dalam fikirannya.
viii. Rakyat hidup aman damai dalam negara yang stabil seperti Malaysia.
ix. Mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja dalam perjuangan mereka untuk mencapai kemerdekaan.
x. Dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat negara ini, kerajaan telah melancarkan berbagai-bagai projek pembangunan.
xi. Keperluan jawatan baru telah beberapa kali dikemukakan dalam anggaran belanjawan tahunan.
xii. Beliau diraikan dalam majlis yang serba sederhana.
xiii. Keretanya rosak semasa dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.
xiv. Dalam keheningan malam, dia duduk berdoa dengan penuh khusyuk dan tawaduk.

Seperti yang dijelaskan di atas, kata sendi `dalam’ digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian `tempat yang tidak mempunyai ruang atau jarak’ (seperti perkara, peristiwa, hal, urusan, bahasa, bidang, masyarakat dan sebagainya). Kesilapan selalu berlaku apabila di tempat yang sepatutnya digunakan kata sendi `dalam’, frasa sendi `di dalam’ (iaitu rangkaian kata sendi ‘di’ dan kata nama arah `dalam’) digunakan. Contohnya :

… terdapat bahagian yang terlibat di dalam penggunaan istilah … (SALAH)
… terdapat bahagian yang terlibat dalam penggunaan istilah … (BETUL)

Beliau sering dijemput menyampaikan ceramah di dalam beberapa seminar … (SALAH)
Beliau sering dijemput menyampaikan ceramah dalam beberapa seminar … (BETUL)

… sudah terdidik di dalam bahasa Melayu … (SALAH)
… sudah terdidik dalam bahasa Melayu … (BETUL)

… mereka semua terperangkap di dalam kegawatan ekonomi … (SALAH)
… mereka semua terperangkap dalam kegawatan ekonomi, … (BETUL)

… Malaysia tidak mungkin hidup sendirian di dalam situasi ini… (SALAH)
… Malaysia tidak mungkin hidup sendirian dalam situasi ini … (BETUL)

… di dalam pelbagai bidang kehidupan … (SALAH)
… dalam pelbagai bidang kehidupan… (BETUL)

Penggunaan frasa sendi `di dalam’ yang betul adalah seperti ayat-ayat contoh yang berikut :

i. Semua peserta berkumpul di dalam dewan.
ii. Pengembara itu sesat di dalam hutan.
iii. Semua surat dan laporan berhubung dengan perkara itu disimpan di dalam fail khas.
iv. Penumpang tidak dibenarkan merokok di dalam kabin kapal terbang.
v. Sila catatkan nama dan alamat anda di dalam petak kosong yang disediakan.
vi. Tulislah jawapan anda di dalam ruangan yang disediakan.

27/03/2015

Kata sendi nama `daripada' hanya boleh hadir di hadapan KATA KERJA atau FRASA KERJA dan KATA ADJEKTIF atau FRASA ADJEKTIF apabila digunakan untuk menyatakan perbezaan atau perbandingan.
Contoh:
a) Lebih baik menjawab salah daripada tidak menjawab langsung.
b) Aku lebih sanggup menentang sikap Zali daripada meninggalkan Norlina seorang di sini.
c) Daripada duduk sahaja di rumah lebih baiklah beramal ibadat, membersihkan kawasan masjid dan lain-lain.
d) "Apakah yang lebih baik daripada bijaksana dan sabar?" Kinto bercakap, dengan kuat seperti ditujukan kepada seseorang.
e) Lebih baik dia dipukul atau dirotan daripada melarang dia bermain drama.
f) Lebih baik berjuang menuntut kemerdekaan daripada berjuang mengangkat senjata.
g) Aku lebih senang menyimpannya di sudut hati daripada bertindak seperti dahulu.

24/11/2014
15/01/2014

TAMBAH KOSA KATA ANDA:

Sallallahualaihiwasallam (bahasa Arab) bermaksud moga-moga Allah memberkati dan memberi kesejahteraan ke atasnya (dikatakan setelah menyebut nama Nabi Muhammad).

'kesejahteraan' sebenarnya kata asal bahasa Melayu dengan maksud yang tersendiri. Oleh itu, penggunaan kata 'kesejahteraan' di atas sekadar menterjemah maksud sahaja dan bukannya kata asal bahasa Arab.

15/01/2014

KOSA KATA HARI INI

‘Sejahtera’ bermaksud aman dan makmur, senang dan tenteram, terpelihara daripada bencana (kesusahan, gangguan, dan lain-lain)
Contoh:
1. Moga-moga kita dapat hidup dalam sejahtera.
2. Selamat sejahtera.

Menyejahterakan bermaksud menjadikan sejahtera, Mengamankan, menyelamatkan.
Contoh:
Ya Tuhanku, sejahterakanlah para pejuang itu.

Kesejahteraan bermaksud keselamatan, kesenangan (hidup dan lain-lain), kesentosaan, ketenteraman.
Contoh:
Manusia mesti bekerja keras untuk mendapat kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

23/12/2013

ILMU BAHASA MELAYU

'leksem' ilmu linguistik yang bermaksud unit minimum, seperti kata atau kata dasar, dalam perbendaharaan kata sesuatu bahasa.

'leksikal' ilmu linguistik berkaitan dengan perkataan atau perbendaharaan kata sesuatu bahasa.

'leksikograf' bermaksud penyusun kamus.

'leksikografi' bermaksud proses atau profesion menyusun kamus,
perkamusan.

'leksikologi' bermaksud kajian tentang makna dan penggunaan perkataan.

'leksikon' bermaksud
1. kamus;
2. perbendaharaan kata sesuatu bahasa atau sesuatu bidang.

'leksikostatistik' bermaksud pengkajian secara statistik tentang kosa kata sesuatu bahasa, dengan penekanan khusus terhadap hubungan sejarahnya dengan bahasa-bahasa lain.

'leksis' bermaksud perbendaharaan kata sesuatu bahasa, kosa kata atau leksikon.

'leksotaktik' bermaksud sistem dan pengkajian penyusunan ciri
leksem dalam urutan.

23/12/2013

TAMBAH KOSA KATA ANDA

'mentaasubi' bermaksud berlaku fanatik kepada atau terhadap sesuatu.
Contoh:
Kamu terlalu mentaasubi kemajuan sehingga terlupa pada insan yang bersaudara denganmu.

23/12/2013

TAMBAH KOSA KATA ANDA

'taajal' bermaksud dengan terburu-buru, gopoh-gopoh, lekas-lekas, tergesa-gesa, serta-merta, segera.
Contoh:
Jangan taajal kita membinasakan sarang penagih itu.

23/12/2013

KOSA KATA HARI INI
Cuba kenal pasti kelainan makna perkataan 'terpacak' dalam ayat-ayat berikut:

1. Dicabutnya turus pagar yang terpacak itu.
2. Dia sudah nampak Bedah terpacak di tepi pantai.
3. Dia mesti berada di Kelab Golf jam lima terpacak .

Address

SMK Sungai Layar, Sungai Petani
Kampong Sungai Layar
08000

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Bahasa Melayu Warisan Kita posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Share