15/12/2025
Program Cahaya Prihatin: Elektrik Untuk Komuniti 2025
Pada 13 Disember 2025, Institut Kejuruteraan Nano Elektronik (INEE) telah dijemput untuk menyertai pameran produk penyelidikan, promosi dan aktiviti STEM sempena Program Cahaya Prihatin: Elektrik Untuk Komuniti 2025.
Program ini dianjurkan oleh Bahagian Kerjasama Strategik Akademik (SACD), Pusat Pengurusan Akademik (AMC), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Malaysia Energy Literacy Program (MELP), bertujuan meningkatkan literasi tenaga dalam kalangan komuniti setempat di Padang Besar, Perlis.
Program ini dijalankan di Kampung Utara Malaysia, Padang Besar, Perlis, dan melibatkan penyertaan aktif komuniti sekitar. INEE telah dijemput sebagai pempamer STEM bagi mempromosikan program-program akademik serta aktiviti berkaitan sains dan teknologi yang ditawarkan oleh UniMAP.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Naib Canselor UniMAP, diikuti dengan ucapan perasmian oleh YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dianjurkan termasuk pertandingan mewarna, pameran STEM, pameran robotik, ceramah keselamatan elektrik, aktiviti teka silang kata serta aktiviti kesedaran penjimatan elektrik. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada komuniti mengenai bidang STEM, malah turut meningkatkan kesedaran tentang penggunaan tenaga elektrik secara selamat dan berhemah.