03/07/2026
BENGKEL TRANSFORMASI MODEL ANATOMI KE BENTUK 3D BERJAYA DIANJURKAN OLEH PERPUSTAKAAN PKTAAB
2 Julai 2026 | Auditorium Sains@Bertam, PKTAAB, USM
Perpustakaan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia telah berjaya menganjurkan Bengkel Transformasi Model Anatomi ke Bentuk 3D: Aplikasi Pemodelan 3D untuk Objek Pendidikan dan Pengajaran, sebagai salah satu inisiatif memperluaskan peranan perpustakaan dalam menyokong pembelajaran, penyelidikan dan inovasi digital.
Bengkel yang menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang ini telah memberi pendedahan kepada teknik penghasilan model 3D menggunakan telefon pintar dan aplikasi berasaskan web percuma. Pendekatan ini membuka peluang kepada peserta untuk meneroka kaedah baharu dalam mendigitalkan objek fizikal bagi tujuan pengajaran, pembelajaran, penyelidikan serta pemeliharaan koleksi.
Program ini telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Hazwani Ahmad Yusof @ Hanafi, Timbalan Pengarah Akademik dan Antarabangsa, PKTAAB. Dalam ucapan beliau, penggunaan teknologi digital dan inovasi seperti pemodelan 3D mampu memberi nilai tambah kepada penyampaian ilmu serta memperkayakan pengalaman pembelajaran pada masa kini.
Sesi perkongsian telah disampaikan oleh Encik Muhamad Nor Firdaus Bin Ab Rahman, Juruteknologi Makmal Perubatan, Jabatan Anatomi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan USM yang mempunyai kepakaran dalam bidang pengawetan tisu, ilustrasi perubatan dan manipulasi 3D. Peserta turut berpeluang menjalani latihan amali bagi menghasilkan model 3D mereka sendiri sepanjang bengkel berlangsung.
Bengkel ini telah mendapat sambutan yang sangat positif dengan penyertaan daripada staf perpustakaan, pegawai penerbit, pensyarah, pegawai sains, pegawai muzium, kakitangan teknikal serta pelajar. Turut menyertai bengkel ini ialah peserta daripada institusi luar termasuk wakil Muzium Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pasukan urus setia yang komited dalam memastikan kelancaran program serta menyediakan platform pembelajaran yang relevan dengan perkembangan teknologi semasa.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Puan Husriati Hussain, Timbalan Ketua Pustakawan, Seksyen Perkhidmatan, Perpustakaan Hamzah Sendut, USM yang turut menyampaikan cenderahati kepada penceramah sebagai tanda penghargaan atas perkongsian ilmu dan pengalaman yang sangat bermakna.
πΈ Terima kasih kepada semua peserta, penceramah dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan dan dikembangkan di institusi masing-masing