05/10/2026
PERJUMPAAN KHAS PENGERUSI LGU BERSAMA PENGURUSAN PPSK PERKUKUH PERANCANGAN, KESEJAHTERAAN DAN PENYELARASAN STRATEGIK
KUBANG KERIAN, 5 Oktober 2026 – Perjumpaan Khas Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said bersama pengurusan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) hari ini menjadi platform penting untuk memperkukuh komunikasi, persefahaman dan perancangan bersama dalam mendepani keperluan serta cabaran masa depan.
Pertemuan yang berlangsung di Bilik Persidangan PPSK itu turut dihadiri Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail, Dekan PPSK, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak, Timbalan-timbalan Dekan, Pengerusi-pengerusi Program serta Penyelaras PPSK.
Sesi berkenaan dimulakan dengan taklimat mengenai perkembangan dan kekuatan PPSK yang merangkumi komposisi staf, pendidikan prasiswazah dan pascasiswazah, penyelidikan, inovasi serta jaringan libatsama industri dan komuniti.
Perbincangan turut melihat perjalanan PPSK sejak penubuhannya pada tahun 1999, perkembangan semasa serta perancangan dan hala tuju masa depan bagi memastikan pusat pengajian terus berkembang sebagai salah satu entiti penting dalam bidang pendidikan dan penyelidikan sains kesihatan.
Dalam memperkukuh peranan tersebut, kepentingan membina hubungan yang lebih strategik dengan agensi berkaitan turut diberi perhatian, termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Jururawat Malaysia (LJM) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), selain badan profesional serta pihak berkepentingan lain.
Jaringan yang kukuh dengan agensi strategik ini penting bagi memastikan program akademik dan pembangunan PPSK sentiasa responsif terhadap keperluan profesion, industri dan negara, di samping memperluas peluang kerjasama dalam pendidikan, penyelidikan serta libatsama.
Aspek penjanaan pendapatan dan strategi pemasaran turut dibincangkan sebagai antara usaha untuk meningkatkan keterlihatan PPSK, memperkukuh kedudukan institusi serta meneroka sumber pendapatan baharu secara strategik dan mampan.
Sesi tersebut turut menjadi ruang terbuka untuk pengurusan PPSK mengetengahkan isu dan cabaran yang memerlukan perhatian serta sokongan pengurusan tertinggi universiti, termasuk aspek pembangunan warga dan kemajuan kerjaya.
Dalam konteks ini, kepentingan memberikan pencerahan yang jelas mengenai peluang kenaikan pangkat, laluan kerjaya, kriteria serta proses pembangunan profesional turut diberi perhatian. Kejelasan maklumat dilihat penting bagi membantu warga memahami peluang yang tersedia, merancang perkembangan kerjaya dengan lebih baik serta mengekalkan motivasi dan keyakinan terhadap organisasi.
Pendekatan komunikasi yang terbuka dan berterusan juga diyakini dapat mengurangkan salah faham, memupuk kepercayaan serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan warga sentiasa menjadi sebahagian daripada pertimbangan dalam perancangan organisasi.
Lebih daripada sekadar sesi taklimat, pertemuan tersebut mencerminkan kepentingan engagement secara langsung antara kepimpinan universiti dan warga pengurusan pusat pengajian dalam memahami realiti di lapangan, menyelaraskan aspirasi serta mencari ruang penambahbaikan secara bersama.
Melangkah ke hadapan, PPSK komited untuk terus memperkukuh kecemerlangan akademik dan penyelidikan, memperluas jaringan strategik dengan agensi, industri dan komuniti, meningkatkan keterlihatan serta meneroka peluang penjanaan pendapatan yang mampu menyokong kelestarian pusat pengajian.
Pada masa yang sama, kekuatan PPSK akan terus dibina berasaskan kebersamaan, komunikasi, kesejahteraan dan perancangan bersama, kerana kemajuan sesebuah organisasi bukan hanya diukur melalui pencapaian, tetapi turut melalui sejauh mana warganya bergerak dalam satu arah dengan matlamat yang dikongsi bersama.
Teks: Amyrulhan Azhari
Foto: Unit Fotografi UKAST