22/08/2026
SHOOTING MASTER UMS PERKUKUH JARINGAN STRATEGIK UMS–TLDM
KOTA KINABALU, 22 Ogos 2026 – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh hubungan strategik bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi penganjuran Program Shooting Master UMS, bertempat di Kompleks Menembak PTKK, Navy Sepanggar, hari ini.
Program anjuran Pejabat Canselori UMS dengan kerjasama KD Sri Likas, Markas Armada Timur TLDM Sepanggar itu menghimpunkan peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai utama universiti serta wakil fakulti, akademi, pusat dan institut (FAPI) UMS.
Program berkenaan mempertandingkan tiga kategori iaitu Individual Side Arms (Precision & Rapid), Falling Plate Team dan Man Vs Man.
Dalam ucapan alu-aluannya, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menegaskan bahawa program tersebut bukan semata-mata mengenai soal menang atau kalah, sebaliknya menjadi platform untuk memperkukuh jaringan kerjasama dan hubungan strategik yang telah terjalin antara UMS dengan KD Sri Likas dan TLDM.
Menurut beliau, penglibatan warga UMS dalam program seumpama itu turut membuka ruang kepada interaksi yang lebih erat, membina semangat berpasukan serta mengukuhkan hubungan antara universiti dengan rakan strategik di luar kampus.
Program turut dihadiri Timbalan Panglima Armada Timur TLDM, Laksamana Pertama Erman Shahril bin Adlan serta Pegawai Memerintah KD Sri Likas, Lt Kdr Ryandal Adrian anak Andreas TLDM.
Selain pertandingan, para peserta turut mengikuti sesi taklimat pertandingan dan keselamatan sebelum acara dimulakan.
Menariknya, Naib Canselor UMS turut mempamerkan kehebatan apabila muncul Johan bagi kategori Man Vs Man, diikuti Encik Cheristopher Janie Petrus sebagai Naib Johan dan Encik Massalinri bin Mohd Tahir di tempat ketiga.
Penganjuran Shooting Master UMS diharap dapat menjadi antara platform yang mengeratkan lagi hubungan UMS dan TLDM, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak bentuk kerjasama strategik pada masa hadapan.