19/02/2026
MISI BANTUAN PASCA BANJIR DI KAMPUNG RAMPAYAN, MENGGATAL
KOTA KINABALU: Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Malaysia Sabah (PALAPES UMS) telah menyertai Misi Bantuan Pasca Banjir melalui Program Gotong-Royong Perdana yang diadakan pada 11 Januari 2026 bertempat di Kampung Rampayan, Menggatal.
Program ini dianjurkan oleh Universiti Malaysia Sabah dan dikoordinasikan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UMS.
Seramai 300 orang peserta telah terlibat dalam program ini yang terdiri daripada pelbagai entiti termasuk unit beruniform, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta Kelab Sukarelawan Siswa (KESUWA). Seramai 60 orang Pegawai Kadet PALAPES UMS telah menyertai misi tersebut sebagai sukarelawan.
Sepanjang program, para sukarela telah melaksanakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kampung yang terjejas akibat banjir, di samping membantu penduduk setempat dalam kerja-kerja pemulihan pasca bencana.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, Naib Canselor UMS, yang menyatakan penghargaan atas komitmen dan semangat kesukarelawanan yang ditunjukkan oleh para peserta.
Penyertaan PALAPES UMS dalam misi ini bukan sahaja mencerminkan komitmen terhadap khidmat masyarakat, malah selari dengan objektif penubuhan PALAPES dalam melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang berdisiplin, berdaya kepimpinan serta mempunyai semangat setia kawan dan patriotisme yang tinggi.
Melalui program seumpama ini, PALAPES UMS terus membuktikan peranan signifikan sebagai wadah pembangunan sahsiah pelajar serta rakan strategik universiti dalam menyokong agenda kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.
— Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Malaysia Sabah