28/07/2025
π Pertandingan Ratu Serimpak UMS 2025
Edisi Pertama β Mencipta Sejarah, Mengangkat Warisan
Universiti Malaysia Sabah dengan bangganya menganjurkan Pertandingan Ratu Serimpak UMS 2025 buat julung kalinya sebagai inisiatif memperkasakan warisan budaya Bajau Samah di peringkat institusi pendidikan tinggi.
Pertandingan sulung ini telah menyaksikan penyertaan lima orang finalis yang tampil menawan dalam busana lengkap tradisi Bajau Samah, dengan serimpak sebagai simbol keanggunan, keturunan dan identiti wanita Bajau.
Melalui penilaian berdasarkan keperibadian, penghayatan budaya serta penguasaan adab dan etika, Nor Hamizah telah dinobatkan sebagai Ratu Serimpak UMS 2025. Beliau turut dipilih sebagai wakil rasmi universiti ke Festival Kebudayaan Bajau Samah 2025, membawa aspirasi mahasiswa dalam memartabatkan warisan bangsa.
Tempat kedua disandang oleh Nurul Sazliayana, manakala Farah Jazima meraih tempat ketiga. Kedua-duanya menyerlahkan semangat dan penghayatan budaya yang tinggi sepanjang pertandingan.
Sebagai edisi pertama, pertandingan ini mencatat sejarah penting dalam usaha UMS untuk memupuk kecintaan terhadap khazanah budaya tempatan, sambil memperluas peranan mahasiswa sebagai pemelihara dan pewaris nilai-nilai tradisi.
Turut hadir memeriahkan majlis ini adalah Pn. Hasmawateh Binti Aminuddin (Timbalan Pengerusi Pertandingan Ratu Serimpak), En. Rijahan Hj. Aliaprah (Pegawai Perhubungan Kursi Rumpun Bajau Samah), Ratu Serimpak Kuala Penyu, Ratu Serimpak Tenghilan dan Ratu Serimpak Tamparuli.
πΏ Serimpak bukan sekadar perhiasan β ia adalah lambang warisan, harga diri dan keindahan budaya yang diwarisi turun-temurun.