15/05/2026
ππππππ πππππππππ: ππππππππππ ππππππππ πππππ ππππ ππππππππ
15 Mei ππππ
Akademi Kenegaraan Malaysia dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan Tinggi telah menganjurkan program Dialog Mahasiswa: Memperkasa Literasi Dasar Luar Malaysia bertempat di Dewan Kuliah A, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM). Program ini merupakan satu inisiatif strategik yang bertujuan memperkukuh kefahaman mahasiswa terhadap dasar luar Malaysia serta meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai peranan negara dalam landskap hubungan antarabangsa semasa.
Program ini telah dihadiri seramai 249 orang mahasiswa Fakulti Sastera dan Sains Sosial yang terdiri daripada pelajar bidang Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Pengajian Asia Tenggara serta Pengajian Asia Timur. Selain itu, program ini turut berjaya menarik penyertaan pelajar daripada pelbagai program pengajian lain di fakulti ini, sekali gus mencerminkan minat dan keprihatinan mahasiswa terhadap isu dasar luar, geopolitik dan hubungan diplomatik Malaysia di peringkat global.
Sesi dialog pada kali ini telah dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Roy Anthony Rogers dari Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM selaku moderator. Ahli panel jemputan terdiri daripada Datuk Profesor Dr. Mohd Faiz Abdullah, Pengarah Eksekutif, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia dan Encik Abdul Razak Sharif, Pegawai Khas I, Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Pejabat Perdana Menteri.
Sepanjang sesi dialog berlangsung, para panel telah berkongsi pandangan dan kupasan berkaitan hala tuju dasar luar Malaysia, cabaran geopolitik semasa, kepentingan diplomasi serantau serta peranan mahasiswa sebagai agen intelektual dalam memahami dan menilai isu-isu antarabangsa secara kritis dan berinformasi. Program ini turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk mengemukakan pandangan, persoalan dan idea secara langsung kepada panel jemputan, sekali gus mewujudkan suasana perbincangan yang interaktif dan bermakna.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Datoβ Dr. Haji Roslan Hussin, Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia bagi menyampaikan sesi rumusan program Dialog Mahasiswa: Memperkasa Literasi Dasar Luar Malaysia. Turut hadir bersama ialah Encik Mohd Fareed Zakaria, Pengarah, Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan, Kementerian Luar Negeri, Profesor Gs Dr. Rosmadi Fauzi, Timbalan Dekan (Ijazah Tinggi), Fakulti Sastera dan Sains Sosial serta barisan pengurusan fakulti.
Penganjuran program seperti ini diyakini mampu memperkukuh literasi dasar luar dalam kalangan mahasiswa, di samping melahirkan generasi muda yang lebih peka, berfikiran global dan mampu memahami kepentingan dasar luar Malaysia dalam menjaga kestabilan, keamanan dan kepentingan negara di peringkat antarabangsa. Program ini juga selaras dengan usaha kerajaan dalam memperluas pemahaman masyarakat, khususnya golongan mahasiswa, terhadap aspirasi dan inisiatif Malaysia di pentas dunia.