13/06/2026
HITS SARAWAK 2026 PERKASA AKSES PENDIDIKAN TINGGI DAN PERLUAS PELUANG PENGAJIAN UNTUK ANAK SARAWAK
KUCHING, SARAWAK, 13 Jun 2026 – Program Higher Education Institution Tour Series (HITS) Sarawak 2026 yang berlangsung hari ini berjaya menghimpunkan ratusan pelajar sekolah menengah dan lepasan SPM bagi mendapatkan maklumat berkaitan peluang melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi, khususnya di bawah rangkaian pendidikan MARA.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Rubiah Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, yang turut menzahirkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluaskan akses pendidikan berkualiti kepada anak-anak Sarawak.
YB Datuk Hajah Rubiah Haji Wang ketika ditemui berkata, inisiatif seperti ini membuktikan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memastikan anak-anak Sarawak tidak tercicir daripada peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi atas faktor kewangan.
“Pendidikan merupakan pemangkin utama pembangunan modal insan. Sokongan yang diberikan melalui pelbagai bentuk bantuan dan insentif ini diharap dapat meningkatkan motivasi pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik serta menyumbang semula kepada pembangunan negeri Sarawak pada masa hadapan,” katanya.
Sempena program tersebut, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) telah menyampaikan bantuan persekolahan berjumlah RM20,000 kepada 172 pelajar daripada enam buah sekolah menengah di Sarawak bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga dalam menyediakan keperluan persekolahan.
Sekolah-sekolah yang menerima manfaat bantuan tersebut ialah:
SMK Matang Jaya (33 pelajar)
SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW) (33 pelajar)
SM Sains Kuching (33 pelajar)
SM Sains Kuching Utara (33 pelajar)
SMK Kota Samarahan (20 pelajar)
SMK Muara Tuang (20 pelajar)
Setiap pelajar menerima bantuan sebanyak RM100, sekali gus mencerminkan keprihatinan YPM terhadap kebajikan dan keperluan pendidikan generasi muda.
Dalam perkembangan berkaitan, program tersebut turut memperkenalkan pelbagai inisiatif dan insentif khas pendidikan untuk pelajar Sarawak hasil kerjasama strategik antara Yayasan Sarawak, Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).
Melalui kelulusan penajaan pendidikan oleh Yayasan Sarawak bertarikh 20 April 2026, pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian di KPTM dan UPTM berpeluang menikmati pelbagai bantuan, antaranya:
Laptop percuma bernilai sehingga RM3,000 kepada pelajar yang layak;
Bantuan buku sebanyak RM300;
Bantuan kewangan khas RM600 sebanyak dua kali bayaran dengan jumlah keseluruhan RM1,200;
Insentif graduan pulang ke Sarawak sebanyak RM300 bagi perjalanan dari Semenanjung Malaysia atau Sabah ke Sarawak.
Selain itu, KPTM dan UPTM turut menawarkan:
Pengecualian bayaran pendaftaran dan pengesahan berjumlah RM400; dan
Insentif tiket penerbangan sebanyak RM300 kepada pelajar Sarawak yang layak.
Pemohon boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui portal rasmi Yayasan Sarawak dengan memuat naik dokumen sokongan yang diperlukan untuk tujuan penilaian.
Inisiatif bersepadu ini dijangka dapat meningkatkan akses pendidikan tinggi dalam kalangan anak-anak Sarawak, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, di samping menggalakkan lebih ramai lepasan SPM melanjutkan pengajian dalam bidang profesional yang ditawarkan oleh KPTM dan UPTM.
Penganjuran HITS Sarawak 2026 mencerminkan komitmen berterusan institusi pendidikan MARA dalam menyediakan laluan pendidikan yang inklusif, berkualiti dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.