23/09/2026
152 PELAJAR BAHARU PASCASISWAZAH SESI SEPTEMBER 2026 DIRAIKAN DALAM MAJLIS ORIENTASI DI UUMKL
Seramai 152 pelajar baharu program pascasiswazah bagi kemasukan Sesi September 2026 telah diraikan dalam Majlis Orientasi Pascasiswazah yang berlangsung pada 20 September lalu secara hibrid (fizikal dan dalam talian) bertempat di Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL).
Majlis bermula dengan ucapan alu-aluan daripada Dekan UUMKL, Prof. Madya Dr. Nik Adzrieman Abdul Rahman, yang menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pelajar atas kejayaan melangkah ke peringkat pengajian tinggi. Dalam ucapannya, beliau mengingatkan bahawa perjalanan pascasiswazah sememangnya penuh dengan cabaran, namun ia juga merupakan satu peluang emas untuk menimba ilmu serta bertukar pandangan bersama para pensyarah dan rakan-rakan pengajian.
"Kita kini berada dalam era di mana maklumat sangat mudah dicapai. Perkara paling utama adalah bagaimana kita memahami, mempersoalkan, dan mengguna pakai maklumat tersebut secara berkesan dan beretika. Manfaatkan sepenuhnya masa anda di sini untuk bertanya, berkongsi pengalaman profesional, dan sentiasa terhubung walaupun ada yang mengikuti pengajian secara dalam talian," ujar beliau.
Beliau turut memberikan penekanan khusus berhubung penggunaan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) secara beretika dalam kalangan pelajar pascasiswazah, dengan menegaskan bahawa integriti akademik dan integriti penyelidikan mesti sentiasa dipelihara dan diutamakan dalam setiap penghasilan karya akademik.
Sesi seterusnya diteruskan dengan taklimat pengurusan kewangan oleh Encik Muhammad Shakir Eiman Bahari, wakil daripada Unit Kewangan UUMKL, yang menerangkan secara terperinci mengenai prosedur pembayaran yuran, kaedah transaksi, serta maklumat penting berkaitan hal ehwal kewangan pelajar.
Para pelajar turut didedahkan dengan kemudahan dan perkhidmatan teknologi maklumat universiti menerusi taklimat oleh Ts. Mohd Solehhuddin Ab Mutalib, wakil dari Unit UUMIT yang menyampaikan taklimat secara dalam talian terus dari UUM Sintok. Beliau memaparkan panduan capaian platform pembelajaran dalam talian, akaun e-mel rasmi universiti, perkhidmatan portal pelajar, serta sokongan teknikal yang disediakan bagi memastikan proses pembelajaran dalam talian berjalan lancar.
Bagi menyokong keperluan penyelidikan dan amalan akademik, Cik Uzma Aqilah Md Zain, wakil Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), menyampaikan taklimat perpustakaan dengan menggalakkan semua pelajar pascasiswazah memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan serta sumber rujukan digital dan fizikal yang disediakan oleh PSB, termasuk pangkalan data dalam talian, jurnal berwasit, serta kemudahan pinjaman antara perpustakaan.
Seterusnya, Encik Abdul Aziz Shaazi Shaarani, Presiden Persatuan Pascasiswazah UUM Kuala Lumpur (UUM Kuala Lumpur Postgraduate Association - PGA), mengambil peluang memperkenalkan persatuan tersebut serta menyalurkan maklumat aktiviti, perkhidmatan sokongan rakan sebaya, dan pelbagai program pembangunan pelajar yang dianjurkan oleh PGA untuk menjaga kebajikan pelajar pascasiswazah di UUMKL.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi pecahan (breakout session) mengikut Kolej Pengajian masing-masing bagi pendedahan khusus program: 1) College of Business (COB), yang dikendalikan oleh Dr. Zurina Adnan, Pengarah Jabatan COB, UUMKL, 2) College of Arts and Sciences (CAS), yang dipimpin oleh Dr. Chan Cheong Chong, Pengarah Jabatan CAS, UUMKL, dan 3) College of Law, Government and International Studies (COLGIS), yang disampaikan oleh Cik Fazilah Mohd. Othman, Pengarah Jabatan COLGIS, UUMKL.
Sebelum majlis melabuhkan tirainya, Pengacara Majlis, Dr. Nursafwah Tugiman, turut menitipkan pesanan dan kata-kata semangat kepada para pelajar baharu agar tidak berasa keseorangan dalam mengharungi perjalanan pengajian pascasiswazah.
“Perkara paling utama untuk diingati adalah anda tidak berseorangan dalam mengharungi perjalanan pascasiswazah ini. Sama ada anda belajar di kampus atau secara dalam talian, anda sentiasa disokong oleh barisan pensyarah, penyelaras program, staf pentadbiran serta rakan-rakan pelajar yang lain.
“Memang tidak dinafikan pengajian peringkat pascasiswazah memerlukan kebiasaan berdikari, tugasan, penyelidikan dan pembentangan yang mencabar. Namun, nikmatilah proses pembelajaran ini, bina jalinan hubungan yang bermakna dan hargailah setiap masa yang dilaburkan demi perkembangan kerjaya serta peribadi anda,” katanya.
Majlis orientasi tersebut diharap dapat menyuntik semangat baharu kepada para pelajar untuk memulakan perjalanan akademik mereka dengan penuh azam, integriti dan kecemerlangan.