20/10/2026
🌿 KULIAH DHUHA MINGGUAN BERSAMA TUAN GURU USTAZ AHMAD ABDULLAH
Alhamdulillah, kuliah Dhuha yang diadakan setiap hari Isnin anjuran Jabatan Syariah Kolej Islam Darul Ulum bersama Tuan Guru Ustaz Ahmad Abdullah terus mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Bermula sejak Jun 2018, kuliah ini pada awalnya hanya dihadiri sekitar 6 hingga 10 orang ahli jemaah. Namun, dengan izin Allah SWT, jumlah kehadiran semakin meningkat dari bulan ke bulan sehingga kini mencecah sekitar 60 orang jemaah dari sekitar Pokok Sena dan Kuala Nerang.
Kuliah berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 10.30 pagi, dimulakan dengan bacaan Hizib Imam Nawawi dan Selawat Basyairul Khairat sebelum diteruskan dengan bacaan kitab oleh Tuan Guru.
Menariknya, kemeriahan tidak terhenti setakat majlis ilmu sahaja. Seusai kuliah, turut berlangsung aktiviti jualan sayur-sayuran, buah-buahan dan kuih muih sehingga suasananya seakan-akan pasar malam kecil.
Semoga majlis ilmu yang istiqamah ini terus diberkati Allah SWT, menjadi asbab bertambahnya ilmu, mengeratkan ukhuwah sesama ahli jemaah serta menyuburkan budaya cintakan ilmu dalam kalangan masyarakat.