12/10/2026
𝐔𝐌𝐓 𝐇𝐈𝐌𝐏𝐔𝐍𝐊𝐀𝐍 𝐏𝐀𝐊𝐀𝐑 𝐊𝐄𝐖𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐑𝐈 𝟏𝟓 𝐍𝐄𝐆𝐀𝐑𝐀 𝐌𝐄𝐍𝐄𝐑𝐔𝐒𝐈 𝐌𝐅𝐀𝐈𝐂𝟐𝟎𝟐𝟔
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FBESD) dengan kerjasama Persatuan Kewangan Malaysia (Malaysian Finance Association – MFA) telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Persatuan Kewangan Malaysia Ke-28 (28th Malaysian Finance Association International Conference 2026 – MFAIC2026) pada 6 hingga 8 Oktober 2026.
Persidangan yang menghimpunkan penyelidik, ahli akademik dan pengamal industri dari dalam dan luar negara ini telah dirasmikan oleh Prof. Ts. Dr. Noor Maizura Mohamad Noor, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT. Kolokium Kedoktoran berlangsung di Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah (PSNZ), UMT, manakala persidangan utama diadakan di Raia Hotel & Convention Centre, Kuala Nerus, Terengganu.
MFAIC2026 menjadi platform perkongsian ilmu dan hasil penyelidikan berkaitan perkembangan serta cabaran semasa dalam bidang kewangan, di samping memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara komuniti akademik dan industri pada peringkat antarabangsa.
Persidangan ini mencatatkan penyertaan dari 15 negara dengan keseluruhan 64 pembentangan secara bersemuka, 26 pembentangan dalam talian serta lapan pembentangan menerusi Kolokium Kedoktoran. Pelbagai pengisian turut dilaksanakan, termasuk sesi perkongsian ilmu serta penyampaian anugerah penyelidikan dan pembentangan terbaik.
Penganjuran MFAIC2026 turut mendapat sokongan RHB Islamic Bank sebagai rakan industri serta beberapa penaja, iaitu Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU), ACCA Maritime South East Asia (ACCA MTSEA), CGS International Securities Malaysia Sdn. Bhd., Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Malaysian Association of Technical Analysts (MATA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), SALIHIN International dan International Journal of Banking and Finance (IJBF).
Penganjuran persidangan ini mencerminkan komitmen berterusan UMT dalam memperkukuh pengantarabangsaan universiti, memperluas jaringan kerjasama akademik dan industri serta meningkatkan sumbangan penyelidikan dalam bidang kewangan di peringkat global.