13/09/2026
UMPSA PERKASA JALINAN STRATEGIK UNIVERSITI–INDUSTRI BERSAMA BOUSTEAD PLANTATIONS BERHAD
KUALA LUMPUR, 10 September 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh jalinan strategik bersama pihak industri menerusi Kunjung Hormat UMPSA ke Boustead Plantations Berhad yang berlangsung di Menara Boustead, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Delegasi UMPSA diketuai oleh Pengarah Kanan, Pusat Pengurusan Kecemerlangan Penyelidikan, Profesor Ts. Dr. Abdul Adam Abdullah, bersama barisan dekan, timbalan dekan dan wakil daripada fakulti serta pusat UMPSA termasuk Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Automotif (FTKMA), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia & Proses (FTKKP), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan & Mekatronik (FTKPM), Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Pusat Sains Matematik, Fakulti Komputeran, Fakulti Pengurusan Industri, Pusat Kecerdasan Buatan & Sains Data (CAIDaS), Pusat Hubungan Industri (PHI) dan UMPSA Advanced.
Pihak Boustead Plantations Berhad p**a diketuai oleh Managing Director, Datuk Zulkarnain Md Eusope, bersama barisan pengurusan kanan yang terdiri daripada Chief Operating Officer, Chief Strategy and Transformation Officer, Chief Human Resource Officer, Head, Strategic Communication serta Senior General Manager.
Dalam sesi perbincangan tersebut, pihak Boustead Plantations Berhad turut berkongsi beberapa cabaran operasi dan keperluan industri yang berpotensi diterokai bersama UMPSA. Antaranya ialah keperluan mendapatkan penyelesaian berkaitan cabaran tenaga kerja di sektor perladangan, khususnya dalam meningkatkan kecekapan dan produktiviti operasi ladang.
Selain itu, pihak Boustead turut mengetengahkan cabaran berkaitan pengurusan saliran dan sumber air di kawasan ladang, khususnya ketika musim monsun dan musim kemarau yang boleh memberi kesan kepada pengurusan serta produktiviti tanaman. Perkara ini dilihat berpotensi untuk diterokai melalui kepakaran UMPSA dalam bidang kejuruteraan awam, teknologi pintar, pemantauan digital serta penyelidikan berkaitan kelestarian dan pengurusan sumber air.
Kunjungan ini bertujuan membuka ruang perbincangan strategik antara UMPSA dan Boustead Plantations Berhad dalam meneroka potensi kerjasama yang lebih luas, khususnya dalam bidang penyelidikan, teknologi dan inovasi, kelestarian, pembangunan infrastruktur perladangan serta pembangunan bakat.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada penerokaan penyelesaian berasaskan penyelidikan bagi menangani cabaran sebenar industri, termasuk pengurusan infrastruktur ladang, teknologi pintar dan pemantauan digital, kelestarian serta pengurusan sisa, pemanfaatan hasil sampingan industri, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pembangunan kompetensi tenaga kerja.
Kepakaran pelbagai bidang yang dimiliki UMPSA diyakini dapat menyumbang kepada penerokaan penyelesaian inovatif dan praktikal bagi menyokong keperluan serta perkembangan industri perladangan yang lebih mampan dan berdaya saing.
Melalui pendekatan kolaboratif ini, UMPSA komited untuk menghubungkan kepakaran akademik, penyelidikan dan inovasi universiti dengan keperluan sebenar industri bagi menghasilkan penyelesaian berimpak serta memberi nilai tambah kepada kedua-dua pihak.
Kunjungan ini diharapkan menjadi platform kepada pembentukan kerjasama strategik yang lebih kukuh antara UMPSA dan Boustead Plantations Berhad, termasuk dalam aspek penyelidikan bersama, pemindahan teknologi, pembangunan bakat serta pelaksanaan projek rintis yang berpotensi memberi manfaat kepada industri dan masyarakat.