PENGENALAN
Pertubuhan Sukarelawan Pendidikan Malaysia (InSmartive Malaysia) merupakan sebuah pertubuhan masyarakat sivil yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia. 'InSmartive' merupakan kependekan daripada cantuman tiga perkataan Inggeris iaitu 'intelligent' (bijaksana), 'smart' (pintar) dan 'creative' (kreatif) yang menggambarkan kedinamikan watak, perkhidmatan dan gerak ker
ja pertubuhan ini. SEJARAH
InSmartive Malaysia berakar daripada Kelab InSmartive, sebuah pertubuhan mahasiswa di Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang aktif menjalankan pelbagai gerak kerja kaunseling, kepimpinan dan kesukarelawanan sejak tahun 2003 lagi. Demi memelihara jenama InSmartive sebagai identiti tunggal dan mengembangkan capaian khidmat, perbincangan sekumpulan penggerak Kelab InSmartive UMP di Pusat Latihan FELCRA, Segamat, Johor pada 16 September 2013 telah menyepakati keperluan untuk mendaftarkannya secara rasmi di sisi undang-undang. Perjumpaan susulan di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Perlis pada 19 September 2015 pula mengenal pasti Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] sebagai opsyen terbaik pendaftarannya berbanding Akta Koperasi 1992 [Akta 502], Akta Pembangunan Belia dan Pertubuhan Belia 2007 [Akta 668] dan Akta Syarikat 1965 [Akta 125]. Sijil pendaftarannya telah dikeluarkan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 9 April 2020. OBJEKTIF
• Membudayakan semangat kesukarelawanan
pendidikan yang tulen dalam kalangan ahli
melalui nilai perpaduan nasional, pemikiran
moderat dan kebijaksanaan pendidikan;
• Menyuburkan sifat kemanusiaan dalam
kalangan ahli melalui kegiatan pendidikan
masyarakat berteraskan kaunseling,
kepimpinan dan kesukarelawanan;
• Menggalakkan literasi pengetahuan,
kesedaran pendidikan dan transformasi sikap
masyarakat melalui kegiatan kesukarelawanan
pendidikan. TADBIR URUS
Pertubuhan ini ditadbir oleh sebuah Jawatankuasa Pusat (JKP) yang dipilih melalui Mesyuarat Agung Dwitahunan sebagaimana ditentukan oleh Perlembagaan Bagi Pertubuhan Sukarelawan Pendidikan Malaysia (InSmartive Malaysia) [NSID-069-04032020]. Fungsi strategik yang diupayakan oleh JKP InSmartive Malaysia diterjemahkan melalui perkhidmatan dan gerak kerja yang turut dipacu oleh jentera proksinya iaitu Kelab InSmartive UMP. Kelestarian ekosistemnya diuruskan berdasarkan dua kerangka strategik iaitu Model Kemandirian InSmartive dan Model Kompas InSmartive yang diperkenalkan melalui insiatif Transformasi InSmartive 12.0 pada 3 September 2021. KEAHLIAN
Semua warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas layak memohon untuk menyertai pertubuhan ini sebagai Ahli Biasa atau Ahli Seumur Hidup. Semua permohonan pendaftaran keahlian adalah tertakluk kepada saringan dan kelulusan JKP InSmartive Malaysia. PERKHIDMATAN
• Fokus Akademik:
- Projek Kilauan Mutiara;
- Kem Interaksi Pemimpin Muda;
- Kem Interaksi Penyelidik Muda;
- Projek Semaian Subur.
• Fokus Komuniti:
- Projek Semaian Budi;
- Projek Semaian Kasih;
- Projek Titik Sentuhan.
• Fokus Ahli:
- Smart Reach Out Project;
- Infinite Class;
- Ukhuwah Booster. LAGU TEMA
Setelah mempertimbangkan ketinggian makna dan kemuliaan mesej di sebalik liriknya, maka lagu "Semoga Bahagia" karya penggubah muzik kelahiran Singapura, Allahyarham Zubir Said (1907-1987) telah dipilih sebagai lagu tema pertubuhan ini dalam Mesyuarat JKP InSmartive Malaysia Ke-8 pada 10 Julai 2021:
"Sama-sama maju ke hadapan,
Pandai cari pelajaran,
Jaga diri dalam kesihatan,
Serta sopan-santun dengan kawan-kawan;
Dengan hati bersih serta suci,
Sama-sama hormat dan berbudi,
Jaga tingkah pemuda-pemudi,
Adat dan budaya junjung tinggi;
Capailah lekas cita-cita pemudi-pemuda,
Supaya kita ada harga di mata dunia;
Kalau kita lengah serta lupa,
Hidup kita sia-sia,
Jiwa besar sihat serta segar,
Rajin dengan sabar tentu bahagia
Lemah-lembut perangai pemudi,
Cergas tangkas wataknya pemuda,
Suka rela selalu berbakti,
Sikap yang pembela dan berjasa;
Capailah nama yang mulia pemudi-pemuda,
Rajinlah supaya berjaya, semoga bahagia."