31/03/2026
31 Mac 2026, Selasa- Kolej Vokasional Matang telah menerima kedatangan daripada Kolej Vokasional Lahad Datu yang melibatkan seramai 11 orang pelajar Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) serta 2 orang kaunselor. Lawatan ini diadakan bersempena program penanda aras dan perkongsian amalan baik antara kedua-dua institusi.
Program telah berlangsung bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 1.30 petang. Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk sesi taklimat pengurusan PRS, perkongsian pengalaman dan strategi pelaksanaan program bimbingan, serta lawatan sekitar fasiliti kolej.
Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar dan kaunselor tentang pelaksanaan amalan terbaik dalam pengurusan PRS di KV Matang, di samping mengukuhkan jaringan kerjasama antara kedua-dua kolej. Para peserta juga berpeluang bertukar pandangan serta idea bagi meningkatkan keberkesanan peranan PRS di institusi masing-masing.
Secara keseluruhannya, program ini berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Diharapkan agar perkongsian yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua peserta dalam memperkasa perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di kolej masing-masing.