09/10/2026
𝗦𝗔𝗧𝗨 𝗕𝗘𝗥𝗨𝗦, 𝗦𝗔𝗧𝗨 𝗝𝗜𝗪𝗔, 𝗠𝗘𝗪𝗔𝗥𝗡𝗔 𝗕𝗘𝗥𝗦𝗔𝗠𝗔, 𝗠𝗘𝗡𝗖𝗜𝗣𝗧𝗔 𝗞𝗘𝗡𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡: 𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗖𝗦𝗥 𝗕𝗔𝗛𝗔𝗚𝗜𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗪𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗨𝗶𝗧𝗠 𝗖𝗔𝗪𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗟𝗔𝗞𝗔 𝗗𝗜 𝗦𝗞 𝗚𝗔𝗡𝗨𝗡
ALOR GAJAH, 28 September 2026 - Bahagian Kewangan UiTM Cawangan Melaka telah menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bertemakan “𝗦𝗮𝘁𝘂 𝗕𝗲𝗿𝘂𝘀, 𝗦𝗮𝘁𝘂 𝗝𝗶𝘄𝗮, 𝗠𝗲𝘄𝗮𝗿𝗻𝗮 𝗕𝗲𝗿𝘀𝗮𝗺𝗮, 𝗠𝗲𝗻𝗰𝗶𝗽𝘁𝗮 𝗞𝗲𝗻𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻” di Sekolah Kebangsaan Ganun, Alor Gajah, Melaka. Program ini turut dihadiri oleh YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Haji Mohd Rasdi Haji Zaini, Rektor UiTMCM bersama barisan Jawatankuasa Eksekutif Negeri UiTMCM. Turut memberikan sokongan ialah En. Muhammad Hafif Noor Azman, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah daripada Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Bank Rakyat Cawangan Masjid Tanah.
Program CSR anjuran Bahagian Kewangan UiTMCM Kampus Alor Gajah ini dilaksanakan menerusi aktiviti penghasilan mural bagi menceriakan persekitaran sekolah. Program ini melibatkan kerjasama warga Bahagian Kewangan, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, guru Pendidikan Seni Visual, pihak sekolah serta wakil penaja. Selain mencetuskan kreativiti, aktiviti ini turut memupuk semangat kerjasama dan kesukarelawanan dalam kalangan peserta, di samping mengeratkan hubungan antara UiTM, pihak sekolah, sektor korporat dan komuniti setempat.
Penganjuran program ini diharapkan dapat memberikan manfaat serta pengalaman bermakna kepada warga sekolah, selain mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih ceria, menarik dan kondusif. Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen UiTMCM dalam melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat serta memperkukuh hubungan strategik bersama komuniti dan rakan korporat. Semoga usaha seumpama ini dapat diteruskan bagi merealisasikan lebih banyak program CSR yang berimpak positif pada masa hadapan.