07/07/2026
๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐ ๐๐ ๐๐ข๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐
27 Jun 2026 | Kg. Melayu Majidi, Johor Bahru
Kecekalan seorang bakal mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk meneruskan pengajian walaupun keluarganya diuji dengan pelbagai cabaran hidup telah menyentuh hati rombongan Program Ziarah Kasih 2.0 anjuran UiTM bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Program yang diketuai oleh En. Zahirizal Miskom, Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang, bersama Ahmad Khudzairi Khalid, Ketua Staf Residen Kolej, telah menziarahi Nazar Imran bin Nizam, bakal mahasiswa yang bakal mengikuti Program Diploma Kejuruteraan Elektrik (EE112) di Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang pada sesi pengambilan September 2026.
Bekas pelajar SMK Tun Syed Nasir Ismail, Johor Bahru itu berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus melayakkannya menyambung pengajian di UiTM. Beliau merupakan anak ketiga daripada empat orang adik-beradik.
Di sebalik kejayaan tersebut, Nazar menyimpan kisah pengorbanan yang besar dalam keluarganya. Bapanya yang sebelum ini bekerja keras menyara empat orang anak lelaki telah diserang strok separuh badan pada tahun 2024, sekali gus menyebabkan kehidupan keluarga berubah secara drastik.
Keadaan itu turut memaksa abang sulungnya menangguh pengajian bagi memberi sepenuh perhatian dalam menjaga bapanya yang kini memerlukan bantuan untuk menjalani aktiviti harian menjadikan keluarga itu bergantung sepenuhnya kepada semangat dan kerjasama sesama adik-beradik dalam meneruskan kehidupan.
Walaupun berdepan cabaran tersebut, Nazar tetap bertekad untuk melanjutkan pengajian. Bagi membantu meringankan beban keluarga serta membuat persediaan sebelum memasuki universiti, beliau kini bekerja sambilan di sebuah kilang bagi mengumpul wang untuk keperluan pengajian.
Menurut Nazar, beliau berazam memanfaatkan peluang yang diberikan oleh UiTM sebaik mungkin kerana percaya pendidikan merupakan jalan terbaik untuk mengubah kehidupan keluarganya.
"Saya mahu belajar bersungguh-sungguh dan berjaya dalam bidang yang saya minati. Impian saya adalah untuk memperoleh pekerjaan yang baik agar dapat membantu keluarga, terutama ayah yang banyak berkorban membesarkan kami adik-beradik," katanya.
Sempena lawatan tersebut, rombongan turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas sebagai tanda keprihatinan UiTM terhadap bakal mahasiswa yang berdepan kekangan sosioekonomi sebelum melaporkan diri ke kampus.
Sementara itu, En. Zahirizal Miskom berkata Program Ziarah Kasih 2.0 mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam memastikan kebajikan bakal mahasiswa sentiasa diberi perhatian, khususnya mereka yang datang daripada keluarga yang berdepan cabaran kewangan dan sosial.
Beliau berkata, setiap pelajar mempunyai potensi untuk berjaya sekiranya diberikan peluang, sokongan dan dorongan yang sewajarnya. Justeru, UiTM akan terus memainkan peranan sebagai institusi yang bukan sahaja menyediakan akses kepada pendidikan tinggi, malah turut menyantuni kebajikan mahasiswa serta keluarga mereka.
Semangat yang ditunjukkan oleh Nazar membuktikan bahawa kesukaran hidup bukanlah penghalang untuk mengejar cita-cita. Dengan tekad yang tinggi, sokongan keluarga serta keprihatinan UiTM, beliau berharap dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang dan seterusnya mengubah masa depan keluarganya.