01/10/2026
PROGRAM EIFFEL TOWER RECYCLING PROJECT: PROJEK INOVASI BAHAN KITAR SEMULA BERSAMA PELAJAR SM SAINS BATU PAHAT
Telah berlangsung Program Eiffel Tower Recycling Project: Projek Inovasi Bahan Kitar Semula anjuran Pusat Pengajian Bahasa (PPB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama SM Sains Batu Pahat. Program ini melibatkan seramai 30 orang pelajar Tingkatan 1 SM Sains Batu Pahat dan dilaksanakan bagi memberikan pendedahan kepada pelajar tentang kepentingan pengurusan bahan kitar semula, kelestarian alam sekitar serta kreativiti melalui pembelajaran berasaskan projek.
Program ini mengangkat konsep Reduce, Reuse, Recycle dan ekonomi kitaran (Économie Circulaire) yang turut menjadi antara pendekatan yang diketengahkan dalam pendidikan kelestarian di Perancis. Melalui program ini, pelajar didedahkan kepada kepentingan mengurangkan sisa serta menggunakan semula bahan terpakai untuk menghasilkan sesuatu yang baharu dan bernilai.
Selain penerapan elemen kelestarian, program ini turut menggabungkan pembelajaran bahasa dan budaya Perancis. Para pelajar diperkenalkan kepada kosa kata asas bahasa Perancis berkaitan alam sekitar melalui sesi pembelajaran menggunakan slaid dan kuiz ringkas sebelum menjalankan aktiviti utama. Pendekatan ini memberikan peluang kepada pelajar untuk mempelajari bahasa asing dalam suasana yang lebih interaktif dan kreatif.
Dalam aktiviti utama, pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan dibantu oleh dua orang fasilitator UTHM bagi setiap kumpulan. Setiap kumpulan diberikan tugasan untuk menghasilkan model Menara Eiffel menggunakan bahan kitar semula yang disediakan, antaranya batang aiskrim, straw terpakai dan kadbod terpakai. Pelajar perlu bekerjasama, membahagikan tugasan serta menggunakan kreativiti masing-masing bagi menghasilkan model yang kukuh, stabil dan menyerupai struktur asas Menara Eiffel.
Aktiviti ini bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar untuk berkreativiti, malah memupuk kemahiran bekerjasama, penyelesaian masalah dan kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar. Pada akhir aktiviti, setiap kumpulan perlu membentangkan hasil binaan mereka untuk dinilai berdasarkan aspek kekukuhan, kreativiti, ciri asas Menara Eiffel, penggunaan bahan serta kerjasama dalam kumpulan.
Secara keseluruhannya, Eiffel Tower Recycling Project menggabungkan elemen bahasa, budaya, kreativiti dan kelestarian alam sekitar dalam satu aktiviti pembelajaran yang praktikal. Program ini turut menyokong usaha memperkukuh kerjasama antara Pusat Pengajian Bahasa UTHM dan SM Sains Batu Pahat, di samping memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada para pelajar.