21/10/2026
𝗙𝗞𝗠𝗣 𝗗𝗢𝗠𝗜𝗡𝗔𝗦𝗜 𝗙𝗘𝗦𝗧𝗜𝗩𝗔𝗟 𝗜𝗚𝗡𝗜𝗧𝗘 𝟮𝟬𝟮𝟲 𝗗𝗘𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗧𝗜𝗚𝗔 𝗔𝗡𝗨𝗚𝗘𝗥𝗔𝗛 𝗨𝗧𝗔𝗠𝗔, 𝗕𝗨𝗞𝗧𝗜 𝗞𝗘𝗖𝗘𝗠𝗘𝗥𝗟𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗕𝗢𝗟𝗘𝗛𝗣𝗔𝗦𝗔𝗥𝗔𝗡 𝗚𝗥𝗔𝗗𝗨𝗔𝗡
21 Oktober 2026 | DSI @ UTHM
Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), UTHM melakar sejarah meraih tiga anugerah berprestij sempena Pameran Kerjaya dan Latihan Industri di Festival Ignite 2026 pada hari ini. Program pemerkasaan kerjaya anjuran bersama Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni serta Pusat Teknousahawan Universiti ini berjaya menghimpunkan lebih 30 wakil industri korporat terkemuka seperti TalentBank dan YTL Construction. Majlis gilang-gemilang ini diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid bin Abdul Razzaq selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM, bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Rabiah binti Ahmad.
FKMP cemerlang dinobatkan sebagai Johan Anugerah Kecemerlangan Keseluruhan Graduate Employability (GE) dan Anugerah Lonjakan GE Terbaik 2025. Lebih membanggakan, kump**an PROTEAM yang terdiri daripada barisan pelajar FKMP telah muncul sebagai johan bagi pertandingan Business Link and Lead 2026 anjuran Pusat Teknousahawan Universiti. Dekan FKMP, Prof. Ts. Amir bin Khalid menyifatkan kejayaan ini amat selaras dengan hasrat dan wawasan negara untuk melahirkan modal insan kejuruteraan dan TVET aras tinggi yang berdaya saing bagi memacu ekonomi berteraskan inovasi digital.
Pencapaian luar biasa ini direalisasikan melalui dedikasi Ts. Dr. Muhammad Faisal bin Mahmod, Penyelaras Kebolehpasaran Graduan di bawah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FKMP, yang bertungkus-lumus memastikan kadar kebolehpasaran graduan fakulti terus meningkat secara konsisten.
Kecemerlangan berterusan ini membuktikan komitmen jitu FKMP dalam memperkasakan staf, pelajar, dan universiti secara holistik, sejajar dengan misi visi UTHM serta kemajuan Malaysia. Melalui jalinan sinergi yang erat bersama rakan industri, fakulti sentiasa berdedikasi melonjakkan kualiti pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan setiap graduan kekal relevan dan kompetitif di peringkat global.
Syabas FKMP 🎊🎉