03/10/2026
Tahniah JPW...
Sambutan Hari Psikologi Tahun 2026 Politeknik Ibrahim Sultan
๐
30 September 2026 (Rabu)
๐ Dewan Tunku Laksamana Abdul Jalil, Politeknik Ibrahim Sultan
Bersempena dengan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia, Politeknik Ibrahim Sultan (P*S) telah mengadakan Sambutan Hari Psikologi Tahun 2026 hasil kerjasama bersama Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Johor (PPWNJ).
Penganjuran program ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran kampus yang menyokong keselamatan dan kesejahteraan mental, di samping meningkatkan kesedaran warga kampus tentang kepentingan menjaga kesihatan mental serta mendapatkan sokongan psikologi dan kaunseling apabila diperlukan. Program ini turut mengetengahkan isu gangguan seksual dan jenayah seksual melalui pendekatan advokasi dan kempen kesedaran.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Ts. Mohd Zulkefli bin Ibrahim, Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan. Dalam ucapan beliau, warga kampus diseru agar berani bersuara dan mendapatkan bantuan sekiranya berhadapan dengan sebarang permasalahan, khususnya berkaitan gangguan seksual. Beliau turut menekankan kepentingan usaha bersama dalam membanteras gangguan seksual dalam kalangan pelajar serta berharap agar kerjasama strategik antara P*S dan PPWNJ dapat diteruskan pada masa hadapan.
Menerusi Slot 1, para peserta diberikan pendedahan berkaitan jenis-jenis keganasan terhadap wanita, gangguan seksual serta saluran aduan dan bantuan yang boleh dihubungi. Perkongsian tersebut telah disampaikan oleh DSP Faridah binti Monel, Pegawai Turus D11, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor.
Seterusnya, Slot 2 menampilkan perkongsian oleh Ir. Kazren Jusri, Kaunselor Berdaftar Bertauliah, yang menyentuh mengenai kesihatan mental, kesejahteraan diri serta pengurusan kesan emosi dan trauma, khususnya bagi individu yang berhadapan dengan pengalaman gangguan atau keganasan seksual. Perkongsian ini turut memberi penekanan terhadap kepentingan mendapatkan sokongan yang sewajarnya dalam proses pemulihan.
Selain itu, PPWN Johor turut membuka reruai pameran PRISMAnita bagi memperkenalkan fungsi dan perkhidmatan sokongan yang disediakan sebagai salah satu saluran rujukan kepada peserta, khususnya wanita yang memerlukan bantuan, nasihat dan sokongan berkaitan isu yang dihadapi.
Secara keseluruhannya, penganjuran Sambutan Hari Psikologi Tahun 2026 menjadi platform dalam meningkatkan kesedaran warga kampus mengenai kesejahteraan mental, keselamatan diri serta isu gangguan seksual. Diharapkan usaha seumpama ini dapat terus diperkasa bagi membentuk persekitaran kampus yang selamat, sihat dan saling menghormati.