17/10/2026
JELAJAH BULAN LITERASI KEWANGAN 2026 KINI DI MELAKA
Telah berlangsung program Jelajah Bulan Literasi Kewangan 2026 pada 17 Oktober 2026 (Sabtu), bertempat di Kolej Komuniti Selandar (KKSL), dari jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Program anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Kolej Komuniti Selandar dan JAPERUN Asahan ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan literasi kewangan serta menggalakkan amalan pengurusan kewangan yang bijak, berhemah dan bertanggungjawab.
Turut hadir ialah YBhg. Datuk Haji Rozaini bin Seman, Setiausaha JAPERUN Asahan dan YBhg. Datuk Hajah Rabeah Adawiyah Mohd Ali, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej. Kehadiran kedua-dua tetamu kehormat ini telah disambut oleh Pengarah KKSL, En. Rozali bin Ibrahim; Timbalan Pengarah Pengurusan, Pn. Norliana binti Masran serta Timbalan Pengarah Akademik Cik Angela Ong Shiau Fei.
Pelbagai aktiviti menarik telah dilaksanakan sepanjang program, antaranya pameran dan perkongsian maklumat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Perkongsian ini memberikan pendedahan kepada para pengunjung mengenai pengurusan kewangan, perlindungan keselamatan sosial serta kepentingan perancangan simpanan untuk masa hadapan.
Selain itu, program turut diserikan dengan promosi kemasukan pelajar baharu ke Kolej Komuniti Selandar bagi memperkenalkan program pengajian yang ditawarkan serta membuka peluang kepada golongan belia untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Aktiviti Mini Free Market turut diadakan bagi memupuk semangat berkongsi, berjimat cermat dan mengamalkan gaya hidup yang lebih lestari dalam kalangan komuniti.
Penganjuran program ini diharapkan dapat meningkatkan tahap celik kewangan masyarakat, memperkukuh kerjasama antara agensi serta memperluas hebahan peluang pendidikan TVET kepada komuniti setempat.
βBijak mengurus wang, cerah masa depan!β