29/04/2026
Audio Siar Graha Pemikir siri kesembilan anjuran Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) bersama kolaborasi Radio UFM 93.6 mengangkat tajuk โEkuiti, Dasar dan Transformasi: Dari Perlindungan ke Penguasaan Ekonomi Melayu dan Bumiputeraโ membawa pendengar menyelami wacana intelektual Melayu bersama YBrs. En. Afizan Amer, Pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan, UiTM. Beliau banyak terlibat dalam libat urus perbincangan dan perlaksanaan polisi, dasar serta merangka dasar tindakan di dalam gerak kerja NGO sepeti Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM). En. Afizan juga merupakan mantan Pegawai Khas di Chief Minister Incorporated (CMI) di bawah mantan Ketua Menteri Melaka, Tun Dr. Mohd Ali Rustam yang bertanggungjawab menasihat dan merangka pelan pemulihan ke atas anak-anak syarikat di bawah Kerajaan Negeri Melaka.
Wacana mengenai ekonomi Bumiputera sentiasa berlegar antara persoalan ekuiti, dasar dan keperluan transformasi yang berterusan. Sejak pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB), pendekatan perlindungan melalui pelbagai inisiatif telah menjadi asas dalam usaha memperkukuh penyertaan serta merapatkan jurang ekonomi. Namun, selepas lebih lima dekad, pemilikan ekuiti Bumiputera masih belum mencapai sasaran 30 peratus, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan pendekatan sedia ada. Justeru, tumpuan kini dilihat beralih daripada sokongan kepada syarikat terpilih kepada usaha memperkasa lebih ramai usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana Bumiputera, bagi melahirkan kelas pertengahan yang mampu beralih daripada kebergantungan kepada gaji kepada pembinaan perniagaan yang menjana nilai ekonomi. Dalam konteks ini, perbincangan menelusuri bagaimana ekuiti dan dasar dapat ditransformasikan daripada kerangka perlindungan kepada penguasaan ekonomi yang lebih mampan, berdaya saing dan berteraskan kemandirian.
Dalam meneluri dasar-dasar ekonomi Bumiputera yang telah dan sedang direncana oleh kerajaan dan agensi-agensi yang terlibat, banyak perancangan dan tindakan telah digiatkan dalam usaha meningkatkan pencapaian 30 peratus pegangan ekuiti Bumiputera secara berfasa daripada pendekatan pembetulan struktur kepada pemerkasaan ekonomi berasaskan daya saing. Bermula dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), fokus diberikan kepada pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat yang kemudiannya diteruskan melalui Dasar Penswastaan Nasional (DPN) dengan penekanan kepada pertumbuhan seimbang dan penyertaan dalam sektor moden. Peralihan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi diperlihatkan melalui Model Ekonomi Baru (MEB), diikuti inisiatif khusus seperti Program Transformasi Nasional yang menumpukan pemilikan ekuiti, keusahawanan dan aset strategik. Dalam konteks semasa, dasar seperti Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Dasar Kemakmuran Bersama 2030 mencerminkan pendekatan yang lebih inklusif dan berorientasikan inovasi, sekali gus mengalihkan fokus daripada sekadar pengagihan kepada penguasaan ekonomi bernilai tinggi dalam kalangan Bumiputera.
Perbincangan mengenai sikap โmediocreโ dalam kalangan usahawan Melayu dan Bumiputera dalam penguasaan ekonomi perlu ditanggapi secara berhati-hati dan berasaskan analisis struktur, bukan sekadar penilaian normatif terhadap individu. Persepsi ini sering dikaitkan dengan kecenderungan kepada zon selesa, kebergantungan kepada sokongan dasar, serta tahap pengambilan risiko dan inovasi yang tidak konsisten dalam persaingan pasaran terbuka; namun demikian, faktor ini tidak boleh dipisahkan daripada legasi sejarah ketidakseimbangan ekonomi, akses kepada modal, rangkaian industri dan kualiti pendidikan keusahawanan. Cabaran semasa sebenar bukan sekadar mengubah sikap, tetapi mentransformasikan ekosistem iaitu meliputi budaya prestasi tinggi, akauntabiliti, meritokrasi terkawal serta orientasi kepada nilai tambah dan inovasi. Justeru, label โmediocreโ lebih tepat difahami sebagai simptom kepada jurang kapasiti dan struktur yang belum matang sepenuhnya, bukan sebagai sifat inheren dan memerlukan intervensi menyeluruh yang menggabungkan pembinaan keupayaan, disiplin pasaran dan kepimpinan berimpak tinggi.