21/09/2026
STRATEX UUM TEROKA PELUANG KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA SOLO LABELLER TECHNOLOGY
UUM ONLINE: Puchong - Selaras dengan hasrat Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk memperluaskan jaringan kerjasama strategik bersama pihak industri, STRATEX Research Group, Pusat pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) telah mengadakan lawatan ke Solo Labeller Technology Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Puchong Utama, Selangor untuk meneroka potensi kolaborasi antara kedua-dua pihak.
Delegasi UUM diketuai oleh Prof. Madya Dr. Chuah Chin Wei bersama ahli kump**an penyelidikan, Prof. Dr. Subramaniam Sri Ramalu dan Prof. Madya Dr. Saufi Che Rusuli, manakala Solo Labeller Technology p**a diwakili oleh Pengarah Urusannya, Cheong Tuck Seng.
Ditubuhkan pada tahun 1993, Solo Labeller Technology adalah sebuah syarikat tempatan yang terlibat dalam pembuatan dan pembekalan mesin pelabelan berasaskan teknologi automasi. Syarikat tersebut turut menawarkan perkhidmatan pelabelan standard dan khusus mengikut spesifikasi pelanggan dalam pelbagai sektor termasuk FMCG, farmaseutikal, serta penjagaan kesihatan.
Pertemuan tersebut telah membuka ruang untuk kedua-dua pihak mengadakan perbincangan berkaitan potensi kerjasama yang boleh diadakan. Antaranya ialah pelaksanaan kajian kebolehpasaran produk Solo Labeller khususnya menerusi program Labelling as a Service (LAAS) kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Selain itu, turut dibincangkan adalah kerjasama dua hala antara UUM dan Solo Labeller untuk melahirkan bakal usahawan dalam kalangan graduan UUM dalam industri mesin pelabelan. Kedua-dua pihak turut membincangkan peluang penempatan pelajar UUM untuk menjalani latihan industri di Solo Labeller Technology.
Lawatan ini diharapkan menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat antara UUM dan Solo Labeller Technology, khususnya dalam menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan sebenar industri.
Kerjasama ini juga dijangka akan membuka ruang untuk kedua-dua pihak meneroka bidang-bidang lain seperti pembangunan strategi, pemasaran, keusahawanan, dan pembangunan bakat pada masa hadapan.