11/10/2026
𝟭𝟵,𝟬𝟬𝟬 𝗠𝗔𝗛𝗔𝗦𝗜𝗦𝗪𝗔 𝗨𝗨𝗠 𝗔𝗞𝗔𝗡 𝗕𝗢𝗟𝗘𝗛 𝗕𝗘𝗟𝗜 𝗧𝗜𝗞𝗘𝗧, 𝗡𝗔𝗜𝗞 𝗕𝗔𝗦 𝗗𝗔𝗟𝗔𝗠 𝗞𝗔𝗠𝗣𝗨𝗦 𝗛𝗔𝗦𝗜𝗟 𝗠𝗼𝗨 𝗗𝗘𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗧𝗕𝗦
Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui anak syarikatnya, UUM Holdings Sdn Bhd mencipta satu lagi langkah penting apabila menjadi universiti pertama menjalin kerjasama strategik dengan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) melalui Terminal Management and Services Sdn. Bhd. (TMAS).
Kerjasama berkenaan dimeterai menerusi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM Holdings dan TMAS di EDC-UUM, hari ini, sekali gus memperkukuh sistem pengangkutan yang lebih selamat, cekap dan bersepadu demi kebajikan lebih 19,000 mahasiswa universiti ini.
MoU ini berpotensi menjadikan UUM sebagai hab pengangkutan strategik yang menyokong pembangunan jaringan pengangkutan awam di wilayah utara.
Pengerusi UUM Holdings, Dato’ Muhamad Khizri Abu Kassim berkata, kerjasama itu merupakan langkah proaktif dalam menangani cabaran mobiliti mahasiswa, terutama mereka yang terpaksa bergantung kepada perkhidmatan kenderaan untuk keluar dari kampus.
Menurutnya, situasi tersebut memerlukan penyelesaian yang lebih sistematik kerana keselamatan mahasiswa tidak boleh dikompromi, khususnya ketika permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan meningkat pada musim cuti semester dan perayaan.
“Kita tidak boleh menunggu sehingga sesuatu kejadian yang tidak diingini berlaku sebelum mengambil tindakan. Keselamatan mahasiswa perlu difikirkan lebih awal dan langkah pencegahan mesti menjadi keutamaan,” katanya.
Dalam majlis MoU berkenaan, Muhamad Khizri dan Ketua Pengawai Eksekutifnya, Azman Hisham Che Doi mewakili UUM Holdings manakala TMAS diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shazwan Mohammad.
Pemeteraian MoU berkenaan mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam mengutamakan kesejahteraan mahasiswa melalui kerjasama strategik bersama pihak industri, di samping memperkukuh peranan UUM Holdings sebagai pemacu pembangunan perkhidmatan dan peluang ekonomi baharu.
Muhamad Khizri atau lebih dikenali dengan Dato’ MK berkata, dengan populasi mahasiswa melebihi 19,000 orang dalam kampus, UUM memerlukan ekosistem pengangkutan yang lebih tersusun, mudah diakses dan mampu memenuhi keperluan perjalanan warga kampus secara berterusan.
Katanya, pemeteraian MoU itu juga membuka ruang kepada UUM Holdings untuk memperluas peranan dalam sektor pengangkutan, sekali gus meneroka potensi pembangunan perkhidmatan yang memberi manfaat bukan sahaja kepada mahasiswa, malah komuniti di wilayah utara.
Sementara itu, Datuk Seri Mohamed Nazri berkata, pemilihan UUM sebagai universiti pertama bagi kerjasama strategik tersebut diharap menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan model pengangkutan mahasiswa yang lebih selamat dan berkesan di institusi pengajian tinggi lain.
Menurutnya, kerjasama itu tidak seharusnya terhenti setakat pemeteraian MoU, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan perkhidmatan yang memberikan manfaat secara langsung kepada mahasiswa.
Beliau berkata, antara pendekatan yang boleh diteroka ialah penyediaan perkhidmatan pengangkutan sambungan perjalanan akhir atau last mile bagi memudahkan pergerakan mahasiswa dari terminal atau stesen pengangkutan awam ke destinasi akhir dengan lebih teratur.
Menurutnya, permintaan pengangkutan dalam kalangan mahasiswa yang berterusan mampu menjadi asas kepada pembangunan perkhidmatan yang lebih mampan, selain menggalakkan penyertaan pengendali pengangkutan awam dalam menyediakan kemudahan perjalanan yang selamat dan berkualiti.
“Komuniti universiti merupakan satu pasaran pengguna yang tetap kepada pengendali bas. Saya percaya mereka tidak mempunyai masalah untuk memberikan kerjasama kerana usaha ini turut memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.
Mohamed Nazri turut berharap inisiatif yang dimulakan bersama UUM itu dapat dijadikan model kepada universiti lain di seluruh negara dalam usaha memperkukuh keselamatan, kebajikan dan kemudahan pengangkutan mahasiswa.
EDC UUM, 11 OKTOBER 2026:
Oleh: Zulaidah Mat Said
Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari