09/07/2026
𝐔𝐔𝐌 𝐇𝐈𝐌𝐏𝐔𝐍𝐊𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐏𝐈𝐌𝐏𝐈𝐍𝐀𝐍 𝐓𝐄𝐑𝐓𝐈𝐍𝐆𝐆𝐈 𝐒𝐄𝐊𝐓𝐎𝐑 𝐀𝐖𝐀𝐌 𝐏𝐀𝐂𝐔 𝐑𝐄𝐅𝐎𝐑𝐌𝐀𝐒𝐈 𝐓𝐀𝐃𝐁𝐈𝐑 𝐔𝐑𝐔𝐒 𝐍𝐄𝐆𝐀𝐑𝐀 𝐌𝐄𝐍𝐄𝐑𝐔𝐒𝐈 𝐒𝐊𝐏𝐒𝐀𝟐𝟎𝟐𝟔
BERITA OLEH: TISSA-UUM
GAMBAR OLEH: MUHAMMAD MUADZ MADZLAN
KUALA TERENGGANU, 6 Julai – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai universiti pengurusan terkemuka negara apabila menghimpunkan barisan kepimpinan tertinggi sektor awam, pembuat dasar, pakar kewangan, juruaudit dan ahli akademik menerusi Seminar Kewangan dan Pengauditan Sektor Awam 2026 (SKPSA2026) yang menjadi wadah strategik memperkasa tadbir urus, integriti serta ketahanan institusi awam dalam era kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Seminar anjuran Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), UUM yang berlangsung di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu dari 5 hingga 7 Julai 2026 berjaya menghimpunkan 157 peserta yang terdiri daripada pegawai kewangan, juruaudit, pengurus, pentadbir kanan serta wakil kementerian, jabatan, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan institusi pengajian tinggi dari seluruh negara. Seminar ini mengangkat tema "Melangkaui Angka: Membina Kepercayaan dan Tadbir Urus Lestari dengan AI, Integriti Data dan ESG", yang mencerminkan keperluan sektor awam untuk bergerak melangkaui pengurusan kewangan konvensional kepada tadbir urus yang lebih mampan, telus dan berteraskan teknologi.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), yang menegaskan bahawa pembangunan modal insan, pengukuhan kompetensi profesional serta budaya integriti perlu bergerak seiring dengan agenda reformasi perkhidmatan awam. Beliau turut menekankan bahawa sektor awam masa kini memerlukan penjawat awam yang bukan sahaja mahir dalam pengurusan kewangan dan pematuhan peraturan, malah berupaya memanfaatkan teknologi digital, mengurus risiko secara strategik serta membuat keputusan berasaskan data bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Penganjuran SKPSA2026 memperlihatkan hubungan strategik yang semakin kukuh antara UUM dan pelbagai agensi kerajaan dalam membangunkan ekosistem pembelajaran sepanjang hayat bagi memperkasa profesion kewangan dan pengauditan sektor awam. Ia juga sejajar dengan agenda reformasi perkhidmatan awam yang menuntut organisasi kerajaan menjadi lebih tangkas, inovatif dan responsif terhadap cabaran global.
Antara pengisian utama seminar ialah syarahan khas oleh YBhg. Dato' Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara, yang menyampaikan pembentangan bertajuk "Risiko ESG dan Ketahanan Institusi: Pengajaran dan Cabaran bagi Akauntan dan Juruaudit Sektor Awam."
Dalam syarahan tersebut, beliau menjelaskan bahawa konsep ketahanan institusi pada masa kini tidak lagi boleh diukur semata-mata melalui pencapaian kewangan atau pematuhan kepada prosedur pentadbiran. Sebaliknya, organisasi sektor awam perlu memiliki keupayaan mengurus risiko secara menyeluruh dengan mengintegrasikan prinsip ESG, memperkukuh sistem kawalan dalaman, mengamalkan budaya integriti serta meningkatkan kecekapan tadbir urus dalam setiap proses membuat keputusan.
Beliau turut menegaskan bahawa integriti, akauntabiliti dan mekanisme pengawasan yang berkesan hendaklah menjadi asas kepada setiap dasar, program dan projek kerajaan bagi memastikan setiap ringgit wang awam dibelanjakan secara berhemah, telus dan memberi p**angan terbaik kepada rakyat.
Mengulas cabaran masa hadapan, beliau berkata perkembangan teknologi digital, penggunaan AI, peningkatan ancaman keselamatan siber, perubahan iklim dan ketidaktentuan ekonomi global memerlukan akauntan dan juruaudit sektor awam memainkan peranan yang lebih strategik sebagai rakan tadbir urus organisasi. Justeru, beliau menyeru warga sektor awam supaya terus meningkatkan kompetensi profesional, menguasai teknologi baharu, mengintegrasikan pertimbangan ESG dalam proses perancangan dan memperkukuh kerjasama rentas agensi bagi membina institusi awam yang lebih berdaya tahan serta diyakini masyarakat.
Turut hadir pada sesi tersebut ialah YBrs. Encik Azman bin Mahmood, Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan), dan Puan Baridatul Anita Bidin, Pengarah Akademi Audit Negara, yang bersama-sama berkongsi pandangan mengenai pengukuhan profesion pengauditan sektor awam dalam era transformasi digital.
Dalam kata aluannya, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, menyifatkan tema seminar sebagai amat signifikan dalam mendepani landskap pengurusan sektor awam yang semakin kompleks. Beliau berkata, AI berpotensi meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan dan pengauditan, namun keberkesanannya hanya dapat dicapai sekiranya disokong oleh integriti data, tadbir urus yang kukuh serta etika profesional yang tinggi. Beliau turut menegaskan bahawa UUM akan terus memainkan peranan sebagai peneraju pembangunan ilmu, penyelidikan dan latihan profesional dalam bidang pengurusan, perakaunan dan tadbir urus bagi menyokong aspirasi Malaysia MADANI.
Sementara itu, Dekan TISSA, Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Mohd Ali, berkata penganjuran SKPSA2026 membuktikan komitmen berterusan UUM dalam merapatkan jurang antara akademia dan sektor awam melalui penyelidikan berimpak tinggi, pemindahan ilmu serta pembangunan kompetensi profesional. Beliau berharap seminar tersebut menjadi pemangkin kepada pembentukan budaya tadbir urus yang lebih progresif, memperluas penggunaan AI dan analitik data dalam pengurusan kewangan serta mempercepat penerapan amalan ESG dalam organisasi sektor awam.
Selain syarahan utama, seminar turut menampilkan pembentangan daripada YBrs. Ts Wan Roshaimi Wan Abdullah, Ketua Pegawai Teknologi (CTO) CyberSecurity Malaysia, YBrs. Dr Murni binti Subroto dari Jabatan Akauntan Negara Malaysia, Dato’ Dr. Khairul Anuar Che Azmi dari Universiti Sains Malaysia, YBrs. DSP Tuan Sachinanthan A/L Muniandy dari Polis Diraja Malaysia, dan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (NACSA) iaitu YBrs. Pn .Norhayati binti Ahmad Mansor yang membincangkan isu keselamatan siber dalam ekosistem kewangan kerajaan, pelaksanaan Malaysian Public Sector Accounting Standards (MPSAS), integriti data, jenayah siber dan akauntabiliti sektor awam. Siri forum profesional, sesi jaringan strategik dan wacana akademik turut membuka ruang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman, amalan terbaik dan inovasi yang boleh diterapkan dalam organisasi masing-masing bagi mempertingkat keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam
Sebagai universiti yang sinonim dengan bidang pengurusan, UUM terus memperkukuh peranannya sebagai rakan strategik kerajaan dalam membangunkan modal insan sektor awam yang kompeten, berintegriti dan berpandangan jauh. Penganjuran SKPSA2026 bukan sahaja mengukuhkan jaringan kolaborasi antara universiti, kementerian dan agensi kerajaan, malah menjadi platform penting dalam merintis idea, dasar dan amalan terbaik yang mampu meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan ketahanan institusi awam.
Selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, seminar ini diharapkan dapat melahirkan lebih ramai pemimpin kewangan dan pengauditan sektor awam yang mampu menerajui transformasi institusi melalui tadbir urus yang berintegriti, inovasi berasaskan teknologi, kelestarian serta pengurusan risiko yang mampan demi memastikan setiap dasar dan perbelanjaan kerajaan terus memberi manfaat yang berterusan kepada rakyat, negara dan dunia.