09/08/2026
SINTOK, 9 Ogos 2026: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kunjungan penanda aras daripada Jabatan Matematik dan Statistik, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 4 Ogos lalu.
Delegasi UTHM diketuai oleh Ketua Jabatan Matematik dan Statistik, Dr. Maria Elena Nor, bersama Ketua Program Prasiswazah, Dr. Norzuria Ibrahim, Dr. Rohayu Mohd Salleh dan Ts. Dr. Wan Nor Munirah Ariffin. Delegasi disambut oleh Dekan SQS, Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi bersama barisan pengurusan SQS.
Kunjungan ini bertujuan berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan akademik serta memperkukuhkan jaringan kerjasama antara kedua-dua institusi. Sesi penanda aras turut menjadi sebahagian daripada persediaan UTHM bagi memenuhi keperluan Audit Pematuhan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Antara aspek yang dikongsi merangkumi pembangunan kurikulum, pelaksanaan Outcome-Based Education (OBE), sistem pentaksiran, latihan industri, projek ilmiah pelajar, pensijilan profesional, kebolehpasaran graduan serta fasiliti pengajaran dan pembelajaran.
Delegasi UTHM turut diberi pendedahan mengenai Sistem OBE UUM, khususnya keupayaannya mengintegrasikan pengurusan akademik serta menganalisis pencapaian pelajar sehingga ke peringkat Course Learning Outcomes (CLO) dan Learning Outcomes Cluster (LOC) bagi menyokong pelaksanaan Continuous Quality Improvement (CQI).
Kunjungan ini mencerminkan komitmen SQS dan UTHM dalam memperkukuhkan budaya penambahbaikan berterusan serta membuka peluang kepada kerjasama lebih erat dalam bidang matematik, statistik, sains keputusan dan analitik data, termasuk penyelidikan bersama, mobiliti staf dan pelajar serta penganjuran program akademik secara kolaboratif.