School of Technology Management & Logistics Universiti Utara Malaysia

  • Home
  • Malaysia
  • Sintok
  • School of Technology Management & Logistics Universiti Utara Malaysia
Call Directions Website Contact the university

School of Technology Management & Logistics Universiti Utara Malaysia STML – To be the leader of Green Management Revolution in Technology Management and Logistics.

PROGRAM SULAM UUM TRANSFORMA KAMPUNG KODIANG LAMA MENUJU SIFAR SISA, BERJAYA KUMPUL LEBIH 664KG BARANGAN DIKITAR SEMULAP...
24/09/2026

PROGRAM SULAM UUM TRANSFORMA KAMPUNG KODIANG LAMA MENUJU SIFAR SISA, BERJAYA KUMPUL LEBIH 664KG BARANGAN DIKITAR SEMULA

Projek 'STML Zero Waste Community Transformation Project (ZWCTP)' anjuran 28 pelajar Seminar Pengurusan Operasi dan Dr. Rizal perkasa kelestarian

KODIANG – Seramai 28 orang pelajar program Sarjana Muda Pengurusan Operasi (Kumpulan D) dengan kerjasama pensyarah penasihat, Prof. Log. Ts. Dr. Mohd. Rizal bin Razalli, daripada Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menggerakkan inisiatif lestari berimpak tinggi melalui program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM).

Program yang dinamakan “STML Zero Waste Community Transformation Project (ZWCTP)” ini telah dilaksanakan secara praktikal bertempat di Kampung Kodiang Lama. Projek ini memfokuskan kepada pemindahan ilmu pengurusan sisa lestari serta transformasi minda komuniti ke arah pembudayaan amalan sifar sisa.

Melalui gerak kerja bersepadu para pelajar Seminar Pengurusan Operasi ini, projek ZWCTP telah berjaya mengumpulkan sebanyak 664.05 kilogram (KG) jumlah keseluruhan sisa pepejal dan barangan boleh kitar semula daripada sekitar kawasan penempatan penduduk. Langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan sisa domestik yang dihantar ke tapak pelupusan, malah mendidik penduduk tentang impak pemeliharaan alam sekitar secara langsung.

Inisiatif pengasingan sisa berimpak tinggi ini turut memberikan nilai pulangan ekonomi yang memberangsangkan, di mana hasil jualan barangan kitar semula tersebut telah mencatatkan nilai sebanyak RM562.15. Kejayaan ini secara tidak langsung membuktikan kepada komuniti setempat bahawa sisa pepejal yang diuruskan menerusi sistem logistik dan operasi yang betul mampu menjana pendapatan sampingan berteraskan konsep ekonomi kitaran (circular economy).

Pelaksanaan projek ini turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat, di mana seramai 29 orang peserta kampung telah terlibat secara aktif sepanjang aktiviti berlangsung. Penduduk kampung diberikan pendedahan secara praktikal mengenai teknik pengasingan sisa dari punca, pengurusan sisa organik, serta pengiraan nilai komersial bagi setiap kategori bahan buangan.

Dr. Rizal, selaku pensyarah penasihat projek merangkap mentor bagi subjek Seminar Pengurusan Operasi Kumpulan D, menyatakan rasa bangga atas komitmen padu yang ditunjukkan oleh 28 orang pelajar beliau. Menurutnya, penglibatan aktif bersama 29 penduduk Kampung Kodiang Lama ini adalah bukti nyata bahawa universiti dan komuniti mampu berdiri seiringan dalam menyelesaikan isu-isu lokal yang mendesak seperti pengurusan sisa pepejal.

Kejayaan "STML Zero Waste Community Transformation Project (ZWCTP)" di Kampung Kodiang Lama ini diharap mampu menjadi pemangkin serta model rujukan terbaik bagi pelaksanaan program SULAM pada masa akan datang. Usaha murni ini secara jelas mempamerkan keupayaan mahasiswa UUM dalam mengintegrasikan ilmu pengurusan operasi demi kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar yang mampan.

PENSYARAH STML KUPAS IMPLIKASI LAND BRIDGE THAILAND TERHADAP MALAYSIA DALAM CILTM PULSEUUM ONLINE: Sintok – Pensyarah Pu...
23/09/2026

PENSYARAH STML KUPAS IMPLIKASI LAND BRIDGE THAILAND TERHADAP MALAYSIA DALAM CILTM PULSE

UUM ONLINE: Sintok – Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohd Azril Ismail, CMILT, mengetengahkan pandangan strategik mengenai projek Land Bridge Thailand menerusi kolum khas Professional Reflection dalam buletin profesional CILTM Pulse terbitan Julai 2026.

Makalah berbentuk pandangan ekonomi atau Economics Opinion itu bertajuk “Rethinking Thailand’s Land Bridge and What It Really Means for Malaysia”. Penulisan tersebut dihasilkan bersama Ts. Dr. Abdul Khabir Rahmat, CMILT, Pengerusi Pengajian Pascasiswazah di Malaysia Institute of Transport (MITRANS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

Penerbitan oleh Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILTM) itu menjadi wadah kepada kedua-dua ahli akademik berkenaan untuk menilai secara kritis kedudukan projek Land Bridge Thailand serta implikasi sebenar pembangunannya terhadap sistem pelabuhan, perdagangan dan logistik Malaysia.

Dalam makalah tersebut, penulis menjelaskan bahawa cadangan koridor darat yang menghubungkan Ranong di Laut Andaman dengan Chumphon di Teluk Thailand tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan jarak perjalanan yang lebih pendek. Sebaliknya, kebolehdayaan projek itu perlu mengambil kira keseluruhan kos logistik, kecekapan pemindahan kargo, kebolehpercayaan jadual, keselamatan operasi, kesan alam sekitar dan keupayaan penyelarasan antara pelbagai mod pengangkutan.

Menurut penilaian yang dikemukakan, Land Bridge tidak berfungsi seperti sebuah terusan yang membolehkan kapal meneruskan pelayaran tanpa gangguan. Penggunaan koridor itu memerlukan kargo dipunggah di satu pelabuhan, dipindahkan melalui darat dan dimuatkan semula ke kapal lain di pelabuhan kedua.

Proses tersebut mewujudkan beberapa titik pertukaran yang boleh meningkatkan kos, kelewatan dan risiko sekiranya tidak disokong oleh tadbir urus serta sistem operasi yang benar-benar bersepadu.

Makalah berkenaan turut membawa pendekatan yang seimbang terhadap kedudukan Malaysia. Projek tersebut dilihat mempunyai nilai strategik kepada Thailand, khususnya sebagai koridor logistik nasional dan subrantau.

Namun, potensinya untuk menggantikan Selat Melaka atau mencabar secara langsung kedudukan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas sebagai hab pemindahan kapal antarabangsa tidak seharusnya dianggap sebagai sesuatu yang pasti.

Bagi Malaysia, penulis menggariskan keperluan untuk memperkukuh pelabuhan negara sebagai sebahagian daripada satu sistem logistik nasional yang saling melengkapi. Prestasi pelabuhan juga perlu dinilai berdasarkan kebolehpercayaan perkhidmatan, tempoh penghantaran, kecekapan pengendalian kargo dan keupayaan menghadapi gangguan, bukan sekadar jumlah kontena yang dikendalikan.

Penulisan itu turut menekankan bahawa Malaysia tidak seharusnya bertindak secara tergesa-gesa melalui pembinaan infrastruktur baharu atau persaingan kadar pelabuhan semata-mata. Sebarang pelaburan, termasuk pembangunan pelabuhan dan integrasinya dengan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), perlu dipacu oleh permintaan kargo yang nyata, laluan perdagangan yang dikenal pasti serta keperluan pelanggan sebenar.

Pada masa yang sama, perkembangan ekonomi di selatan Thailand boleh diterjemahkan sebagai peluang kepada negeri-negeri di utara Semenanjung. Kedah, Perlis dan Pulau Pinang berpotensi memperoleh manfaat melalui pengukuhan hubungan logistik rentas sempadan, pembangunan rantaian bekalan terkawal suhu serta pertumbuhan aktiviti pembuatan di sekitar Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam.

Aspek keselamatan dan tadbir urus turut diberikan perhatian penting dalam makalah tersebut. Penulis berpandangan bahawa infrastruktur fizikal sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kejayaan sesebuah koridor logistik.

Keupayaan menyelaras operasi pelabuhan, rel dan jalan raya, mengurus kargo berbahaya, menghadapi ancaman siber serta melindungi ekosistem pesisir akan menentukan tahap keyakinan syarikat perkapalan, pengendali logistik, penanggung insurans dan masyarakat terhadap projek berkenaan.

Penerbitan pandangan seperti ini menyerlahkan sumbangan kepakaran ahli akademik STML, UUM khususnya dalam membahaskan isu ekonomi dan logistik serantau yang mempunyai kepentingan dan impak langsung kepada Malaysia.

Ia juga memperlihatkan peranan STML dalam membawa analisis akademik melangkaui lingkungan universiti untuk dimanfaatkan oleh komuniti profesional, pembuat dasar dan pemain industri pengangkutan serta logistik dalam pembangunan negara.

22/09/2026

Penceramah: PM Ts. Dr. Hj. Mohd Akhir Hj. Ahmad

Moderator: PM Dr. Risyawati Mohamed Ismail

Tarikh: SELASA | 22 SEPTEMBER 2026
Masa: 10:00 pagi hingga 11.00 pagi

AKTIVITI BERSAMA JK PENERBITAN STML: SESI 5 Tajuk: How To Write Policy Paper?Penceramah: PM Ts. Dr. Hj. Mohd Akhir Hj. A...
21/09/2026

AKTIVITI BERSAMA JK PENERBITAN STML: SESI 5

Tajuk: How To Write Policy Paper?
Penceramah: PM Ts. Dr. Hj. Mohd Akhir Hj. Ahmad
Moderator: PM Dr. Risyawati Mohamed Ismail

Tarikh: SELASA | 22 SEPTEMBER 2026
Masa: 10:00 pagi hingga 11.00 pagi

Pautan Google Meet:

Google Meet joining info
Video call link: https://meet.google.com/imy-uqdt-hfg

✅Semua staf akademik dijemput hadir.
✅Mata PBU akan diberikan

Jumpa anda di sana!

12 SESI 'PARALEL' ICTOM 2026 PERKUKUH PERKONGSIAN ILMU RENTAS DISIPLINUUM ONLINE: Pulau Pinang, 8 September 2026 – Inter...
21/09/2026

12 SESI 'PARALEL' ICTOM 2026 PERKUKUH PERKONGSIAN ILMU RENTAS DISIPLIN

UUM ONLINE: Pulau Pinang, 8 September 2026 – International Conference on Technology and Operations Management 2026 (ICTOM 2026) menyediakan platform perkongsian ilmu yang dinamik menerusi penganjuran 12 sesi paralel, melibatkan penyertaan secara fizikal dan dalam talian.

Daripada keseluruhan 112 peserta, seramai 75 peserta hadir secara fizikal di Cititel Hotel, Pulau Pinang, manakala 37 peserta menyertai persidangan secara dalam talian. Sesi pembentangan lisan merangkumi enam sesi fizikal yang dilaksanakan di tiga bilik persidangan sepanjang dua slot utama, serta enam sesi dalam talian menerusi bilik pecahan maya.

Kelancaran sesi paralel ini turut diperkukuh melalui penglibatan 20 invited speakers, terdiri daripada 13 invited speakers bagi sesi fizikal dan tujuh bagi sesi dalam talian. Selain berkongsi kepakaran melalui pembentangan khas, mereka turut bertindak sebagai moderator dan pemberi ulasan bagi menggalakkan perbincangan yang lebih kritis serta membina.

ICTOM 2026 turut menampilkan 33 pembentangan poster, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai penyelidik untuk mempersembahkan hasil kajian, inovasi dan penyelesaian yang berpotensi memberikan impak kepada masyarakat serta industri.

Pembentangan yang diketengahkan meliputi bidang perniagaan, teknologi, pengurusan operasi dan logistik. Pada tahun ini, skop ICTOM diperluaskan dengan pengenalan bidang kejuruteraan sebagai salah satu bidang utama persidangan. Perkembangan ini mencerminkan keperluan kepada pendekatan rentas disiplin dalam menangani cabaran semasa berkaitan kelestarian, transformasi digital, kecerdasan buatan, rantaian bekalan, alam sekitar dan pembangunan teknologi.

Antara kajian yang dibentangkan termasuk inovasi bahan dan tenaga, pengurusan sisa dan air, teknologi kecerdasan buatan, keselamatan jalan raya, sistem logistik, pengurusan rantaian bekalan, pelancongan, kelestarian organisasi serta pembangunan ekonomi dan komuniti.

Menurut Pengarah ICTOM 2026, Ts. Dr. Siti Khadijah Hubadillah, sesi paralel merupakan antara komponen terpenting persidangan kerana menyediakan ruang interaksi secara langsung antara pembentang, pakar bidang dan peserta.

“Melalui sesi ini, peserta bukan sahaja dapat membentangkan hasil penyelidikan, tetapi juga menerima pandangan, cadangan dan maklum balas yang dapat membantu mereka memperkukuh kajian. Perbincangan yang berlaku turut membuka peluang kepada pembentukan jaringan dan kerjasama penyelidikan baharu,” katanya.

Format sesi yang menggabungkan pembentangan fizikal, dalam talian dan poster membolehkan ICTOM 2026 menawarkan pengalaman persidangan yang lebih inklusif. Pendekatan ini turut memberi peluang kepada peserta daripada pelbagai institusi dan negara untuk bertukar pandangan tanpa dibatasi oleh lokasi.

Penganjuran sesi paralel ini membuktikan bahawa ICTOM bukan sekadar medan pembentangan hasil penyelidikan, tetapi turut berperanan sebagai platform yang menghubungkan idea, kepakaran dan inovasi daripada pelbagai bidang. Melalui perkongsian tersebut, ICTOM 2026 terus memperkukuh peranannya dalam menghasilkan penyelesaian yang lebih praktikal, bertanggungjawab dan mampan untuk masa hadapan.

Berita oleh: Nurul Farzana Zamri
Gambar oleh: Ahmad Fasil Solihin Mohd Azlam

20/09/2026
334 PELAJAR BAHARU STML TERIMA PENDEDAHAN BERKAITAN HALA TUJU AKADEMIK DAN PELUANG MOBILITI ANTARABANGSAUUM ONLINE: Sera...
20/09/2026

334 PELAJAR BAHARU STML TERIMA PENDEDAHAN BERKAITAN HALA TUJU AKADEMIK DAN PELUANG MOBILITI ANTARABANGSA

UUM ONLINE: Seramai 334 pelajar baharu Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) terlibat dalam program Kembara Bersama Pusat Pengajian bersempena minggu suai kenal (MSK) bagi sesi A261.

Pelajar tempatan dan antarabangsa daripada tiga program pengajian peringkat sarjana muda iaitu Sarjana Muda Pengurusan Teknologi, Sarjana Muda Pengurusan Operasi dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik & Pengangkutan) telah hadir pada majlis ini.

Dekan STML, UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim berkata, program ini bertujuan memberikan pendedahan awal mengenai hala tuju akademik, persekitaran pembelajaran serta peluang pembangunan diri yang tersedia sepanjang tempoh pengajian di STML, UUM.

Dalam sesi amanat tersebut, beliau turut menekankan kepentingan integriti dan disiplin akademik sebagai asas kepada kejayaan pengajian, di samping menyeru pelajar untuk aktif terlibat dalam aktiviti kokurikulum dan kelab-kelab di bawah STML bagi membina jaringan serta memperkayakan pengalaman universiti mereka.

Amanat yang disampaikan turut menyentuh mengenai visi dan misi STML sebagai institusi yang komited memacu kecemerlangan dalam bidang pengurusan teknologi dan logistik, sekaligus menjadi panduan kepada pelajar baharu untuk melangkah dengan lebih yakin sepanjang tempoh pengajian mereka.

Sesi ini turut menyaksikan taklimat akademik yang disampaikan oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa STML, Prof. Madya Dr. Norsiah Hami yang memberikan pengenalan ringkas mengenai latar belakang dan pencapaian penting (milestone) STML sejak ditubuhkan pada 1 Julai 2011 di bawah COB UUM termasuk visi STML untuk menjadi institusi terkemuka dalam mentransformasi modal insan serta misinya dalam pembangunan, komunikasi dan aplikasi ilmu.

Pelajar turut didedahkan dengan struktur kepimpinan STML, program pengajian yang ditawarkan di peringkat sarjana muda iaitu Sarjana Muda Pengurusan Teknologi, Sarjana Muda Pengurusan Operasi dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik & Pengangkutan) serta program di peringkat pascasiswazah merangkumi sarjana secara penyelidikan dan kerja kursus dalam pelbagai bidang seperti Pengurusan Operasi, Pengurusan Teknologi, Pengurusan Rantaian Bekalan, Pengurusan Projek, serta Pengurusan Pengangkutan dan Logistik, di samping program Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Operasi Teknologi dan Logistik.

Taklimat turut menyentuh peranan pusat kecemerlangan dan unit penyelidikan STML serta kerjasama strategik dan kolaborasi yang terjalin bersama universiti dan industri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, bagi memberi gambaran menyeluruh kepada pelajar baharu mengenai ekosistem akademik di STML.

Selain itu, pelajar baharu juga turut diberikan taklimat dan penjelasan mengenai peluang mobiliti pelajar (student mobility), yang disampaikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar STML, Dr. Wadi Khalid Anuar.

Dalam taklimat bertajuk "Opportunities for Mobility" ini, beliau memperincikan dua kategori utama program mobiliti keluar (outbound), iaitu program tanpa kredit (Without Credit) dan program berkredit (With Credit), yang masing-masing menawarkan pengalaman antarabangsa berbeza kepada pelajar.

Bagi program berkredit, pelajar berpeluang menyertai One-Semester Exchange Programme yang membawa mereka mengikuti pengajian selama satu semester di universiti-universiti luar negara yang mempunyai kerjasama dengan UUM, merangkumi destinasi seperti Indonesia, Jepun, Perancis dan Sepanyol, di samping negara-negara lain termasuk Brunei, Filipina, Thailand, China, Korea, Türkiye, Finland, Romania, Poland dan Uzbekistan. Program ini turut disertakan bantuan kewangan sekali sahaja bernilai RM3,000 bagi destinasi negara ASEAN dan RM5,000 bagi destinasi negara-negara lain, selain ganjaran tambahan sebanyak 500 mata merit kepada pelajar yang menyertainya.

Dr. Wadi Khalid turut menggalakkan pelajar untuk merancang penyertaan dalam program mobiliti sejak awal pengajian, memandangkan pengalaman antarabangsa ini bukan sahaja memperluas jaringan dan pendedahan global pelajar, malah turut menyumbang kepada pembangunan sahsiah serta kebolehpasaran mereka selepas bergraduat kelak.

Program Kembara Bersama Pusat Pengajian sempena MSK ini merupakan salah satu inisiatif STML dalam memastikan pelajar baharu bukan sahaja bersedia dari aspek akademik, malah turut terdedah kepada peluang-peluang pembangunan diri yang lebih luas sejak hari pertama mereka melangkah ke kampus UUM.

Oleh: Muhammad Haziq Farhan Mohamad Rosni
Gambar oleh: AJK Media International Orientation Wee

DARIPADA SISA KEPADA SUMBER: UUM, CSR PADANG TERAP DAN LKTN REALISASIKAN ASPIRASI SISA SIFAR MELALUI INOVASI JUBIN SERAM...
20/09/2026

DARIPADA SISA KEPADA SUMBER: UUM, CSR PADANG TERAP DAN LKTN REALISASIKAN ASPIRASI SISA SIFAR MELALUI INOVASI JUBIN SERAMIK HIJAU

UUM ONLINE: Padang Terap, 17 September 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) memperkukuh kerjasama strategik dengan Central Sugar Refinery (CSR) (Padang Terap) Sdn. Bhd. dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) melalui pelaksanaan projek penyelidikan bertajuk “Sustainable Marble Innovations: Eco-Friendly Tiles from Kenaf Fibers and Pressmud Waste.”

Projek bernilai RM210,000 tajan Dana LKTN itu memberi tumpuan kepada pembangunan jubin seramik mesra alam melalui gabungan feldspar, gentian kenaf dan pressmud, sekali gus mengetengahkan pendekatan ekonomi kitaran dalam penghasilan bahan binaan yang lebih lestari.

Aktiviti penyelidikan yang dilaksanakan pada Khamis, 17 September 2026 di CSR Padang Terap melibatkan lawatan teknikal, perbincangan bersama pihak industri serta pengumpulan pressmud untuk tujuan penyediaan sampel dan pembangunan formulasi jubin seramik di peringkat makmal.

Pressmud merupakan bahan sampingan yang terhasil daripada proses penapisan gula. CSR Padang Terap menghasilkan kira-kira 10 hingga 12 tan metrik pressmud setiap hari. Jumlah yang tinggi ini memerlukan kaedah pengurusan yang sistematik dan mampan bagi mengurangkan pelupusan serta kesannya terhadap alam sekitar.

Sehubungan itu, CSR Padang Terap terus memberikan komitmen kepada projek ini dengan membekalkan pressmud sebagai bahan mentah penyelidikan serta menyokong usaha UUM dan LKTN untuk menukarkan sisa industri tersebut kepada produk bernilai tambah. Kerjasama ini membuka peluang kepada penghasilan jubin seramik inovatif yang bukan sahaja mempunyai nilai komersial, malah berpotensi mengurangkan penggunaan bahan mentah konvensional.

Ketua projek dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), UUM, Dr. Maheera Mohamad, berkata penyelidikan tersebut membawa konsep daripada sisa kepada sumber dengan menggabungkan dua bahan berpotensi, iaitu gentian kenaf daripada sektor pertanian dan pressmud daripada industri gula.

“Melalui formulasi campuran feldspar, gentian kenaf dan pressmud, projek ini berhasrat membangunkan jubin seramik yang lebih mesra alam dan mempunyai potensi untuk digunakan dalam sektor pembinaan serta reka bentuk dalaman. Pada masa yang sama, penyelidikan ini menyokong aspirasi sisa sifar atau zero waste dengan mengalihkan pressmud daripada aliran pelupusan kepada proses penghasilan produk yang lebih bernilai,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan sisa sifar tidak hanya memberi tumpuan kepada pengurangan jumlah sisa, malah melibatkan penggunaan sumber secara cekap, pemanjangan kitar hayat bahan dan penghasilan produk baharu yang mempunyai fungsi serta potensi pasaran.

Penggunaan pressmud dan gentian kenaf dalam penghasilan jubin seramik juga dijangka dapat menyumbang kepada pengurangan jejak alam sekitar industri, menyokong penggunaan bahan boleh diperbaharui dan memperluas penerapan prinsip ekonomi kitaran dalam sektor pembuatan bahan binaan.

Kerjasama tiga pihak antara UUM, CSR Padang Terap dan LKTN membuktikan bahawa hubungan strategik antara universiti, industri dan agensi kerajaan mampu mempercepat pembangunan inovasi hijau. CSR berperanan sebagai rakan industri dan pembekal pressmud, LKTN menyokong pemerkasaan penggunaan gentian kenaf, manakala UUM menerajui penyelidikan, pembangunan formulasi, pengujian prestasi dan penilaian potensi produk.

Penyelidikan ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur, SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan, SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab serta SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim.

Melalui komitmen berterusan ketiga-tiga pihak, projek ini diharapkan dapat menghasilkan prototaip jubin seramik lestari yang memenuhi ciri teknikal dan keselamatan sebelum dibawa ke peringkat pengoptimuman, pengeluaran berskala lebih besar serta pengkomersialan.

Inisiatif ini turut memperlihatkan peranan UUM dalam menghasilkan penyelidikan berimpak yang bukan sahaja menyelesaikan cabaran sebenar industri, tetapi turut menyumbang kepada agenda kelestarian alam sekitar dan pembangunan ekonomi hijau negara.

Berita & gambar oleh: Nur Azean binti Baharom & Tunku Muhammad Al-Amin Tunku Kasim

Address

Universiti Utara
Sintok
06010

Opening Hours

Monday 09:00 - 17:00
Tuesday 09:00 - 17:00
Wednesday 09:00 - 17:00
Thursday 09:00 - 15:30
Sunday 09:00 - 17:00

Telephone

+6049287002

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when School of Technology Management & Logistics Universiti Utara Malaysia posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Contact The University

Send a message to School of Technology Management & Logistics Universiti Utara Malaysia:

Shortcuts

Share