10/01/2019
UUM TERUS KUKUHKAN HUBUNGAN KERJASAMA DENGAN PKT LOGISTICS GROUP SDN. BHD
UUM ONLINE: Shah Alam, Selangor - Peranan universiti tidak hanya terbatas dalam penciptaan dan penyebaran ilmu semata-mata, malahan universiti juga memainkan peranan signifikan dalam memastikan graduan yang dilahirkan dapat memenuhi keperluan industri.
Sejajar dengan matlamat tersebut, Universiti Utara Malaysia (UUM) mengambil inisiatif untuk mengukuhkan lagi hubungannya dengan industri dengan mengadakan perbincangan potensi kolaborasi dengan PKT Logistics Group Sdn. Bhd.
Perbincangan yang dihadiri oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani membincangkan potensi kerjasama strategik bagi Projek Northern Gateway di Bukit Kayu Hitam, Kedah yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Pihak PKT Logistics Group Sdn. Bhd. juga bersetuju untuk mengadakan program bersama UUM seperti Smart Truckers, CEO Talk dan penempatan praktikum.
Dalam majlis tersebut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PKT Logistics Group Sdn. Bhd., Dato’ Michael Tio turut berkongsi kisah mengenai PKT Logistics menerusi pembentangan “The Story of PKT Logistics” yang berkisar tentang jatuh bangun beliau membangunkan organisasi tersebut hingga ke tahap tertinggi hari ini.
Delegasi UUM juga dibawa melawat ke “The Light House” yang dikenali sebagai iconic building yang merupakan gudang tertinggi di Malaysia.
Sesi perbincangan ini turut disertai oleh Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Madya Dr. Marlin Marissa Malek; Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Prof. Madya Dr. Nor Hasni Osman dan pegawai-pegawai UUM.